Tuesday, January 17, 2012

PTPTN - Dua Berita yang "berbeza"

Berita 1 : Hapus PTPTN: Kelantan kumpul data peminjam
KOTA BHARU, 17 Jan: Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa (gambar) memberitahu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menggerakkan usaha mengenal pasti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk dihapuskan hutang mereka jika Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.


Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah diarah untuk mengumpul data mereka yang terlibat.

“Negeri lain saya tidak tahu, tetapi di Kelantan kita mempunyai royalti minyak dan ia membolehkan hutang berkenaan dihapuskan,” katanya ketika menghadiri Majlis Pengumuman Pembangunan Kota Bharu Sentral @ Tunjong di Hotel Rennaisance, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri berkata, hutang yang akan dilupuskan itu melibatkan jumlah yang dipinjam oleh pelajar berkenaan sejak tahun 2005 hingga sekarang.

Dalam perbahasannya di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 di Alor Setar Sabtu lalu, Husam menawarkan bahawa negeri Kelantan akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada PTPTN jika Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 nanti.

Husam membayangkan, bayaran itu akan dibuat sebaik Kelantan berjaya menuntut bayaran royalti minyak daripada kerajaan persekutuan yang pada waktu itu diterajui Pakatan Rakyat.

Husam berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja untuk memperkasa perkhidmatan awam – satu tawaran yang dilancarkan Pakatan dalam manifesto Tawaran Jingga. - Harakah

Berita 2 : Saman peminjam disenarai-hitamkan PTPTN 13 Feb

ptptn logoJan 17, 2012 Mahkamah Sesyen menetapkan 13 Feb untuk membuat keputusan mengenai permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membatalkan saman seorang peminjam pinjaman tabung itu.

Hakim Unaizah Mohd menetapkan tarikh itu selepas kes tersebut disebut semula di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 20 Sept tahun lalu, pegawai bank Mandeep Singh memfailkan saman itu di Registri Sivil Mahkamah Sesyen terhadap PTPTN kerana memfitnah dan menangkapnya secara salah berikutan beliau disenarai hitamkan untuk dakwaan gagal menyelesaikan pinjaman pengajiannnya.

Peguam beliau Abdul Malik Hakim memberitahu pemberita bahawa PTPTN telah memfailkan untuk membatalkan permohonan itu atas alasan bahawa tindakan itu yang dikemukakan oleh plaintif (Mandeep) berkaitan isu-isu perlembagaan di mana Mahkamah Tinggi hendaklah memutuskan mengenai perkara berkenaan.

Beliau berkata PTPTN juga menyatakan bahawa mengikut Seksyen 22 Akta PTPTN, mereka berhak melarang penuntut yang gagal membuat pembayaran daripada meninggalkan negara.

Dalam kenyataan tuntutan, Mandeep, 27, memohon RM19,000 bagi kemudaran khas untuk tiket penerbangan dan tempahan hotel, faedah, kos dan bayaran lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau berkata mengikut perjanjian pinjaman pengajian bertarikh 9 Nov, 2006, PTPTN bersetuju meminjamkan beliau RM48,000.

Mandeep mendakwa bahawa beliau ditahan oleh para pegawai Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada 6 Julai tahun lalu, ketika beliau hendak berlepas Guangzhao, China untuk bercuti.

Katanya beliau dimaklumkan oleh para pegawai itu bahawa namanya telah disenarai hitamkan dalam pangkalan data Imigresen.

Bagaimanapun, beliau berkata PTPTN gagal memadamkan namanya daripada pangkalan data itu sungguhpun beliau telah memaklumkannya kepada PTPTN untuk berbuat demikian.

Berikutan itu, beliau Mandeep mendakwa beliau dihina di khalayak ramai dan insiden itu mencemarkan reputasinya. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...