Gerakan masyarakat sivil ini telah memberi tekanan yang terbesar untuk Najib sejak mengambil alih tampuk kerajaan pada April 2009. Selepas perhimpunan BERSIH 2.0 ditekan secara keras, Najib mengulangi bahasanya untuk membawa "perubahan". Believing mengumumkan pemansuhan ISA, menamatkan ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dahulu, menghapuskan prinsip pembaharuan tahunan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 yang menyekat hak rakyat untuk berhimpun.
Namun, fenomena "PM baru" telah menyurut. Ramai warga internet yang berwaspada dan bersikap selindung dengan janji yang ditaburkan Najib. Masa sudah tiba untuk rakyat meneliti sama ada Najib menunaikan janjinya selepas media arus perdana menyarat dadanya dengan lambakan pujian betapa terbukanya Najib.
Sebagai kesudahannya, kerajaan meminda Akta Polis yang menyekat perhimpunan rakyat, digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman yang "menyekat hak berhimpun atas nama perhimpunan aman". RUU Perhimpunan Aman yang mengharamkan protes jalanan tidak dirunding secara terbuka dengan rakyat, diluluskan tiga bacaannya dengan pantas dalam tempoh seminggu. Langkah ini mencungkil pertikaian sama ada kerajaan berniat untuk menyekat perhimpunan BERSIH 3.0 dan mengelakkan ketibaan "Arab Spring" ke Malaysia.
Seandainya dikatakan pengumuman Najib pada malam sebelum Hari Malaysia itu menjelmakan semula imaginasi dari rakyat, maka akta yang akhirnya digubal telah menghancurkan segala sisa-baki imaginasi rakyat yang tertinggal.
Rakyat dijanjikan dengan "kebebasan berhimpun" semasa pindaan Akta Polis, namun ia berakhir dengan Akta Perhimpunan Aman yang mengharamkan protes jalanan. Maka, apa pula kesudahan pemansuhan ISA pada Mac 2012, sebagaimana yang dijanjikan? Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz telah berkata, dua akta yang bakal menggantikan ISA, yang fokusnya untuk anti-pengganas dan memelihara keselamatan negara - akan mengekalkan "penahanan tanpa perbicaraan". Jelas, ini sesuatu yang baru hanya pada nama, bukan pada isinya - gagal memberi apa-apa imaginasi.
Dari PRN Sarawak, perhimpunan BERSIH 2.0 hinggalah pindaan dan pemansuhan akta draconian, Najib tampil dengan imej flip-flop, jumud dan mencengkam sejak April 2011 - menjurus kepada kehancuran imej keterbukaan, pembaharuan, mesra rakyat yang cuba dibinanya dalam masa dua tahun - sebagaimana mayat Altantuya Shaariibuu dimusnahkan.
Melaungkan semula "Perpaduan Melayu"
Suasana krisis yang wujud dalam Perhimpunan UMNO dua tahun lalu kembali menjelma di PWTC pada akhir tahun 2011. Cuma, berbeza dengan jalan penyelesaian yang disarankan dua tahun lalu, iaitu "perubahan" dan "transformasi", UMNO mengambil pendekatan yang tradisional dan jalan singkat, dengan melaungkan "perpaduan Melayu".
Dalam perhimpunan UMNO lalu, bahasa "pembaharuan" seperti 1Malaysia telah diketepikan. Hujah yang berbaur perkauman dan kronisme kembali semula, misalnya "Melayu tolong Melayu", "Kalau projek sekecil itu pun diberi kepada syarikat GLC, apa lagi kita nak makan?", "Melayu terpaksa berkorban dan berkompromi" dan lain-lain lagi. Meskipun Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dengan nada yang tinggi memuji kejayaan program transformasi Najib, sejauh mana UMNO telah berubah dan sebagainya - namun kenyataan seperti ini hanya ditafsir sebagai kata-kata untuk mengampu.
Ketika berucap dalam sesi penggulungan perhimpunan UMNO, Najib menyeru agar semua orang UMNO bersatu-padu ke medan perang, untuk mengelakkan UMNO hilang kuasa, yang menjurus kepada terkuburnya masa depan orang Melayu - bagai raungan terakhir. Namun, mereka sama ada di dalam mahupun di luar dewan menyedari, bahawa sentimen perkauman yang meletus di pentas itu sekadar hiasan, dan "masa depan Melayu" itu sekadar kata ganti untuk "mata wang kroni UMNO". Hilangnya kuasa UMNO membawa makna jaringan kepentingan UMNO sepanjang puluhan tahun ini akan dirobekkan, dan kroni UMNO bakal jatuh ke tanah. Inilah makna tersirat di sebalik laungan "perpaduan Melayu" oleh pimpinan UMNO.
Tiada masa lagi untuk Najib membuat pengubahsuaian dalam dasarnya setelah gagal dalam "pembaharuan"-nya. Maka UMNO undur untuk mempertahankan kubunya, memperingatkan orang UMNO agar memikirkan kepentingan bersama - jangan wujud cah keting atau sabotaj dalam PRU akan datang, supaya UMNO kekal berkuasa.
Keresahan terselit di mana-mana dalam ucapan Najib. Dan beliau sememangnya mempunyai alasan untuk berasa gelisah. Siku-menyiku bermula apabila Najib mengumumkan bahawa pemilihan calon akan dibuat berdasarkan ciri-ciri winnable. Skandal yang melibatkan Menteri UMNO didedahkan satu demi satu. Dari Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan, Timbalan Menteri Kewangan II Awang Adek hinggalah Setiausaha Sulit Kanan untuk kedua-dua orang Najib dan Muhyiddin Yassin yang dituduh menerima "sumbangan" peniaga - dianggap terdedah kerana sabotaj daripada orang dalaman parti.
Di dalam dewan, orang UMNO berikrar taat kepada parti dan bersatu-padu berdepan PRU 13. Di luar dewan, orang UMNO mula bersilat. Bung Mokhtar mendesak Shahrizat Jalil meletak jawatan, Naib Presiden UMNO Zahid Hamidi pula menegur Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah agar tidak menyebelahi siswa-siswi hanya untuk menjadi "hero". Ribut besar diramalkan melanda.
709 adalah pemisah politik
Untuk menyimpulkan tahun 2011, malah pentadbiran Najib selama tiga tahun, perhimpunan BERSIH 2.0 adalah pemisah yang penting. Perubahan yang besar dalam suasana politik Malaysia berlaku selepas 9 Julai 2011. Sebelum 709, BN masih mampu menarik sokongan mereka yang berada di atas pagar dan berpendidikan tinggi dengan imej Najib, namun ia mungkin tidak lagi mujarab seperti dahulu selepas 709.
Kini, BN hanya boleh menyokong pembaharuanya yang bertiang kosong dengan media arus media kawalannya. Pada masa yang sama, gula dan wang ditaburkan, menyasarkan golongan miskin, peneroka FELDA dan warga emas yang tidak terdedah kepada maklumat internet.
Empat tahun yang lalu, perhimpunan BERSIH pertama memberi tamparan yang sengit kepada kerajaan Abdullah Ahmad Badawi, sehingga pembangkang berjaya menghakis hampir separuh kuasanya. Selepas empat tahun, perhimpunan BERSIH 2.0 sekali lagi menunjukkan kuasa rakyat, memberi impak besar kepada kerajaan Najib yang asalnya semakin berkobar-kobar semangatnya.
PRU akan datang bukan lagi pertarungan antara pemerintah dengan pembangkang, tetapi pertempuran antara rakyat dengan kerajaan yang korup. (Bahagian kedua, tamat) - Chan Wei See
Bahagian pertama: Mengimbas tahun 2011: Transformasi Najib bagai susu 1Malaysia
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 28 Disember 2011.