Thursday, February 9, 2012

Isu Hilmi: MB Selangor tunggu Anwar


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri akan menunggu kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneliti dan membawa laporan penahanan lelaki yang dikaitkan dengan parti itu di Indonesia dalam Mesyuarat Biro Politik PKR, minggu ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mesyuarat tersebut yang dijadualkan berlangsung semalam ditunda kerana ketiadaan Anwar.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri masih belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan baru, kita akan berbincang dengan Biro Politik PKR dalam minggu ini,” katanya kepada media, semalam.

Kelmarin, Kerajaan Negeri memberitahu bahawa pihaknya akan bertindak jika isu ini memberi implikasi kepada kerajaan, pemimpin dan pentadbiran Negeri Selangor.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar berkata, adalah tidak beretika sekiranya wujud sebarang cubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk menyalahgunakan isu ini bagi mempertikaikan kredibiliti seseorang individu.

Sebelum ini, media Indonesia melaporkan warga Malaysia itu dikenali Azmin Heli ditahan di Batam kerana memiliki pengenalan diri palsu dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Hasil pemeriksaan imigresen, dia dikenalpasti anggota PKR dan mendakwa keselamatannya tidak terjamin di Malaysia.

Sementara itu, Abdul Khalid memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersedia untuk mengeluarkan peruntukan untuk membaiki bumbung 120 unit rumah di Pangsapuri Teratai, Seksyen 16, Bukit Subang, yang diterbangkan angin dalam satu kejadian ribut, kelmarin.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menghantar juru nilai untuk memeriksa harga dan jumlah peruntukkan yang perlu disalurkan. SH

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...