KUALA LUMPUR, 30 Jan — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhasrat bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan dan menyerahkan memorandum berhubung isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Tindakan pentadbiran KUIN menggantung lima mahasiswa mengikut AUKU mendapat tentangan kumpulan mahasiswa yang turut mendesak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan pendirian rasmi berhubung AUKU, yang mahu dimansuhkan Pakatan Rakyat.
Pengerusi SMM Ahmad Syukri Abdul Razab berkata pertemuan itu amat penting bagi membolehkan Hadi menerima maklumat dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang adil.
SMM berhasrat bertemu Hadi selepas Ahli Parlimen Marang itu mengatakan masih belum menerima sebarang memorandum berhubung perkara itu.
“Melihat kepada kenyataan Presiden PAS, mahasiswa yakin Tuan Guru Presiden masih tidak dimaklumkan mengenai isu sebenar yang berlaku dan apakah premis sebenar tuntutan mahasiswa terhadap menteri besar Kedah.
“Oleh itu mahasiswa akan menyusun pertemuan dengan Tuan Guru Presiden PAS bagi membolehkan maklumat disampaikan terus memandangkan memorandum yang dihantar tahun lepas tidak sampai ke tangan beliau,” kata Ahmad Syukri dalam satu kenyataan.
Beliau meletakkan harapan agar pertemuan itu dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Mahasiswa mengharapkan pertemuan ini nanti bakal membuahkan solusi yang bermanfaat untuk semua pihak sekaligus mengiktiraf perjuangan memansuhkan AUKU sebagai akta yang telah menzalimi mahasiswa selama 40 tahun,” katanya.
Pada Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti tersebut dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, KUIN.
Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.
Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.
Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.
Menurut Ahmad Syukri, pihaknya telah menyerahkan memorandum itu kepada PAS melalui sayap pemuda parti Islam itu tahun lalu.
Katanya, Hadi sepatutnya merujuk perkara itu kepada Dewan Pemuda PAS pusat sambil menambah masih menyimpan salinan memorandum yang diserahkan itu.
“Tuan Guru Presiden seharusnya merujuk kepada Dewan Pemuda PAS khususnya Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan sama ada sudah menerima memorandum mahasiswa atau tidak.
“Mahasiswa masih memiliki salinan memorandum yang ditujukan atas nama Presiden PAS yang pada Mei tahun lalu telah diserahkan kepada wakil Dewan Pemuda PAS pusat,” katanya.
Jelas Ahmad Syukri, kandungan memorandum itu antara lain meminta Hadi menasihati Azizan agar tidak menggunakan AUKU di Kedah.
“Memorandum itu dihantar sejurus selepas pihak pentadbiran KUIN mengeluarkan surat arahan tunjuk sebab sebelum perbicaraan dan hukuman dijatuhkan.
“Namun mahasiswa tidak dapat melihat sebarang tindakan serius daripada pihak PAS khususnya Dewan Pemuda PAS pusat untuk menasihati menteri besar Kedah dalam isu ini selain beberapa pertemuan tertutup yang tidak menampakkan hasil. Malah menteri besar Kedah sehingga ke hari ini masih berpendirian mempertahankan AUKU,” katanya.
PAS akan meminta Azizan memberikan penjelasan berhubung penggantungan lima mahasiswa KUIN pada 12 Februari ini semasa mesyuarat bulanan parti itu. - MI