Monday, January 23, 2012

Isu NFC: Ketua Audit Negara didesak dedah surat..

KUALA LUMPUR - Ketua Audit Negara didesak mendedahkan keterangan yang diberikan oleh National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) menerusi surat jawapan yang dihantar kepadanya berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh syarikat berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau diberitahu oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail bahawa surat jawapan telah dihantar kepada Ketua Audit Negara berhubung dakwaan yang dilontarkan terhadap syarikat itu selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 didedahkan.

Beliau difahamkan, pihak Jabatan Audit Negara telah menerima surat jawapan itu dan mengakui bahawa tidak berlaku sebarang penyelewengan dan semuanya di bawah kawalan serta mengikut peraturan.

"Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh telah menghantar surat jawapan kepada Ketua Audit Negara mengenai dakwaan terhadap NFC dan beliau memberitahu bahawa Jabatan Audit juga telah menerimanya serta mengakui bahawa tidak berlaku penyelewengan seperti didakwa.

"Bagaimanapun, tiada pengumuman dibuat oleh Ketua Audit Negara berhubung perkara berkenaan, jadi kami mendesak beliau membuat kenyataan rasmi mengenainya dan berlaku adil kepada semua pihak supaya seseorang itu dibela atau dihukum atas sebab yang sah faktanya, bukan kerana persepsi politik.

"Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berpihak kepada sesiapa, kami menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Justeru, kami berharap SPRM serta pihak polis menyegerakan siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Perkasa bersama 11 lagi NGO sebelum itu diberikan taklimat dan penerangan oleh Mohamad Salleh berhubung isu dakwaan penyelewengan dana kerajaan membabitkan NFC yang menjadi tumpuan ketika ini.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Perundingan Malaysia, Majlis Usahawan Malaysia dan Persatuan Anak Kelantan Malaysia.

Isu membabitkan NFC timbul ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu yang menyatakan syarikat berkenaan gagal memenuhi matlamat penubuhannya sebagai integrator Pusat Fidlot Nasional.

Sementara itu, Ibrahim berkata, beliau dan 11 NGO lain berpuas hati serta menerima baik penjelasan yang diberikan Mohamad Salleh berhubung isu berkenaan.

"Berdasarkan apa yang dijelaskan kepada kami, ia tidaklah seteruk seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini dan kami berpuas hati dengan penjelasan tersebut," jelasnya. -Utusan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...