Monday, January 23, 2012

DAP jadi Melayu?

Saya amat meyakini bahawa perubahan lanskap politik tanahair tidak akan berjaya jika parti-parti politik yang memacu arah perubahan ini tidak melakukan perubahan pada dirinya terlebih dahulu. Sebab itulah saya sering menegaskan, parti-parti yang sedang melakar lanskap politik masa depan bukan hanya tukar baju sedangkan dalamnya penuh dengan pekung, tetapi parti-parti ini mesti merubah segala sesuatu yang berakar umbi dalam politik Malaysia, umpamanya, politik perlindungan, isu perkauman dan agama serta politik populis yang tidak berpijak di bumi nyata. Untuk melakukan demikian parti politik tersebut mesti terlebih dahulu mengimani jalan ke hadapan yang diperlukan oleh rakyat Malaysia hari ini.

Merungkai perkauman

Sekurang-kurangnya bagi parti-parti dalam Pakatan Rakyat, asas terbentuknya parti-parti ini tidak mewajarkan fahaman perkauman. Tetapi ini bukan bermakna jalan mereka menjadi mudah dalam konteks memacu arah perubahan, ia adalah kerana walaupun secara ideologinya mereka bukan berfahaman perkauman tetapi amalan dan budaya politik yang dipraktikkan tidak menunjukkan demikian. DAP contohnya, masih terbentuk dalam dirinya imej parti Cina yang dilabel oleh UMNO ditambah lagi satu sifat iaitu Chauvanis.

Walaupun usaha telah dibuat untuk membuang persepsi ini tetapi sekian lama DAP dilabel sebagai lidah penyambung PAP pimpinan Lee Kuan Yew yang anti Melayu. Jikalau DAP anti Melayu maka PAS pula ialah ekstrim Islam yang kerjanya "potong" sana "potong" sini. PKR pula lebih selesa memulakan perjalanannya dalam suasana yang secara praktikalnya adalah multi-racial namun PKR dilabel sebagai pengkhianat Melayu pula.

Saya setuju kita tidak boleh mengandaikan label-label ini betul tetapi dalam dunia politik persepsi adalah segala-segalanya. Tetapi, tunggu dulu... berita baiknya ialah parti-parti ini berusaha bersungguh-sungguh untuk merungkaikan politik jahat perkauman ini. Buat artikel kali ini saya berminat untuk melihat usaha-usaha DAP membuang persepsi umum bahawa ianya sebuah parti chauvanis Cina.

DAP Melayu?

Tokoh DAP Melayu tidak dominan tetapi seorang dua sudah cukup untuk mereka muncul sebagai anak "istimewa" DAP. Kalau kita masih ingat dengan nama Allahyarham Ahmad Nor, beliau merupakan tokoh Melayu DAP yang terkenal di tahun 1980-an. Semasa tsunami kecil tahun 2008, muncul tokoh Tunku Aziz dan paling terkini di sebalik pengecaman DAP sebagai parti chauvanis Cina muncul tokoh muda Melayu meredah arus iaitu, Hata Wahari dan Aspan Alias. Bukan mudah untuk mereka membuktikan sebaliknya tentang DAP dalam arus yang masih tidak menyebelahi mereka hari ini, tetapi bukankah kita perlu ada orang yang meredahnya?

Usaha organisasi DAP untuk dilihat "mesra Melayu" bermula sejak 1980-an lagi, keperluan itu semakin mendesak apabila DAP berjaya menguasai kerusi yang banyak di Perak, Penang dan Selangor. Dap menyedari satu handicap mereka iaitu, mereka memerlukan calon MB di Perak dan Selangor Melayu yang mereka tiada. Situasi ini menyebabkan mereka berasa amat terdesak untuk menyediakan kader parti dari bangsa Melayu. Seperti juga PAS yang meredah tembok pemisah antara mereka dan kaum Cina, saya amat memahami DAP berhadapan dengan satu cabaran yang mendaki untuk mencapai cita-citanya.

Pendekatan DAP

Kini usaha "mesra Melayu" DAP menjadi mudah apabila ia menjadi parti yang memerintah di Pulau Pinang. Ia menzahirkan hasratnya itu melalui dasar berkebajikan kerajaan negeri di mana golongan yang paling bermanfaat dalam dasar ini ialah orang Melayu selain daripada bangsa lain. Pengagihan ini melihatkan betapa DAP bukanlah hendak meminggir orang Melayu atau mendiskriminasikan mereka di Pulau Pinang malah penonjolan Lim Guan Eng yang lebih memahami kehendak Islam berbanding dengan Ketua-Ketua Menteri sebelum ini pada kadar tertentu telah mencairkan chauvanisma DAP. Jadi Ketua Menteri Pulau Pinang itu sendiri adalah satu alat taktikal yang paling efektif untuk DAP menggerakkan strategi "mesra Melayunya".

Dari sudut organisasi, amatlah penting untuk proses pengkaderan baru melibatkan sekelompok Melayu yang berpengaruh dalam segmen kepengaruhan tertentu. Keterlibatan mereka mampu menonjolkan kesungguhan DAP untuk dilihat secara praktikal adalah berbagai kaum secara lengkapnya. Tokoh Melayu lain dalam DAP yang mula mengukir nama ialah seperti Zairil Khair Johari (anak Khir Johari), Prof. Arifin Omar, Mohd Arif Sabri seorang blogger yang terkenal dengan nama samaran Sokmongkol AK 47 dan mungkin ramai lagi yang dah memasang niat untuk bersama DAP. Saya yakin untuk memastikan Melayu dilihat ada tempat dalam DAP mereka akan diberi kedudukan tertentu untuk ditonjolkan sebagai tokoh Melayu dalam DAP.

Budaya

Sebagai parti yang lama DAP mempunyai budaya yang berakar umbi membentuk identitinya. Ia cuba menonjolkan dirinya hari ini sebagai "third wave socialist" yang mahukan keperluan pasaran yang lebih besar tetapi dengan intervensi kerajaan yang lebih walaupun tetap mengekalkan nilai-nilai sosialismenya. Ketegasan pada rasuah dan ketelusan dalam urusan kerajaan serta kebebasan ruang demokrasi merupakan satu magnet yang menarik orang ramai termasuk middle class Malay untuk memberikan perhatian kepada model kerajaan DAP.

Style orang DAP yang lebih ringkas dan mudah boleh mencairkan orang Melayu yang dah bosan dengan golongan borjoise politikus Melayu di mana persepsinya ialah golongan ini meraih kemewahan yang diperolehi kerana politik perlindungan. Malah kesederhanaan pemimpin DAP kadang-kadang "mengalah" pemimpin PAS apabila dilihat dalam majlis-majlis tertentu. Ini budaya-budaya yang perlu diperorangkan (personalize) supaya menjadi daya penarik pada orang Melayu. Saya yakin ini juga adalah kempen senyap DAP untuk mengaut sokongan orang Melayu.

Cabaran Menanti

Anjakan DAP kepada mesra Melayu bukanlah jalan lurus yang dibentangkan permaidani, ini adalah kerana pembudayaan politik Melayu begitu menebal sehingga ia dilihat sebagai membuang air di daun keladi. Namun jika kita membuat perbandingan usaha PAS yang berkonsepkan mesra kaum lain, satu ketika dahulu ia dianggap mustahil tetapi kini PAS telah memetik sebahagian hasilnya? Apakah perkara yang sama boleh dikatakan untuk DAP?

DAP juga perlu serius menanggap dirinya tidak anti Islam, bukan dengan hanya memperuntukkan belanjawan yang lebih kepada pentadbiran Islam di Pulau Pinang tetapi juga menjaga "mulut" pemimpinnya yang mudah mengguris hati orang Melayu dan umat Islam. Mereka perlu berhati-hati dalam isu agama dan sensitiviti undang-undang Islam atau bercakap tentang hudud dalam konotasinya yang negatif. Lagi satu kalaupun mahu menarik minat orang Melayu mereka tidak boleh dilihat keterlaluan dalam menghuraikan isu Islam yang bidangnya terletak dalam kerangka intelektual yang tinggi perdebatannya. Mengambil mudah isu-isu Islam yang dihuraikan dari pemimpin DAP dalam ceramah-ceramah mereka dikhuatiri akan back-fire retorik mesra Islam dan Melayu DAP.

Perkembangan menarik

Namun setelah apa juga yang diperkatakan, perkembangan yang berlaku dalam politik kepartian di Malaysia amatlah menarik. Bagi aktivis dan pemerhati politik seperti saya perkembangan ini menandai nafas-nafas akhir politik perkauman yang mencengkam politik Malaysia selama ini. Satu hari nanti parti politik Malaysia tidak boleh dicamkan dengan pola perkaumannya lagi kerana mereka sudah membebaskan diri dari pengecaman itu.

Yang menjadi pengecaman nanti ialah apakah dasar yang diutarakan kepada rakyat, mana-mana parti yang lebih menarik dasarya itulah yang menjadi pilihan rakyat. Begitu juga menginstitusikan peribadi ahli politik sebagai ikon yang disukai ramai akan menjadi trend politik kepartian di masa hadapan. Sehingga semua itu terlaksana, yang penting ialah prosesnya yang sedang bermula dengan kadar yang sungguh laju. Sementara itu, PAS memerhatikan perkembangan DAP dengan penuh minat kerana dia sudah ada pesaing baru selain pesaing tunggalnya selama ini, siapa lagi kalau bukan UMNO! - 

*Dr.Mujahid Yusof Rawa adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...