Wednesday, January 25, 2012

60 peratus veteran tentera Sarawak didakwa hidup miskin

KUCHING- Kira-kira 60 peratus daripada 13,550 bekas anggota tentera di Sarawak hidup di bawah paras garis kemiskinan, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia Sarawak, Lt Kol Monday Juhid.

"Mereka terdiri daripada veteran tentera yang tidak menerima pencen selepas menamatkan perkhidmatan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada veteran oleh Panglima Tiga Briged, Brig Jen Hasagaya Abdullah di sini, hari ini.

Monday berkata, JHEV sedang menggiatkan usaha mencari dan mendaftar kesemua veteran tentera di negeri itu, namun setakat ini usaha berkenaan hanya berjaya mencatatkan 6,500 orang.

"Lebih separuh lagi yang belum mendaftar dengan kami dan kita akan menggunakan jaringan hubungan dengan 18 buah cawangan Persatuan Bekas Perajurit di negeri ini untuk menyampaikan maklumat jabatan kepada veteran yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, JHEV Sarawak bercadang mengadakan lapan program kaunter bergerak sebagai satu lagi strategi melebarkan jangkauannya di negeri itu.

Menurutnya, masalah logistik di kawasan luar bandar Sarawak sudah dikenal pasti sebagai antara punca yang mengekang veteran tentera untuk mendaftar dengan JHEV.

"Ada juga segelintir bekas tentera yang kurang berminat untuk mendaftar atas alasan tidak memberikan apa-apa faedah kepada mereka, tetapi jumlah mereka ini sedikit saja," katanya.

JHEV ATM yang ditubuhkan pada 2001 di bawah Kementerian Pertahanan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan bantuan sosio-ekonomi kepada bekas anggota tentera.

"Selain skim bantuan sara hidup, pendidikan sekolah, pendidikan tinggi, perubatan dan bencana, jabatan juga menyediakan perkhidmatan bimbingan dan bantuan keusahawanan untuk bekas tentera," kata Monday. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...