Saturday, October 15, 2011

PERANAN BESAR TOK KENALI DALAM PERKEMBANGAN ISLAM

TOK KENALI atau Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali, Kelantan pada tahun 1868 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya dan di Kelantan, khususnya.

Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang ‘mengaji’ dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: “Belajar rajin-rajin” dan “balik buka pondok!”
Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai karamah seperti berjalan di permukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang masin (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau). 
Beliau juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar.
Beliau meninggal dunia dalam usia 65 tahun pada 19 November, 1933.
Tenaga penting majalah Pengasuh
Beliau adalah tokoh penting di sebalik penerbitan majalah Pengasuh di samping pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Mekah dan lima tahun di Mesir.
Beliau membuka dua buah pondok di kampong kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu. Di sinilah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama, yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di samping mengajar, Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.
Gandingan ulama dan umara
Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali juga turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan.
Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat.
Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar) Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Nik Mahmud Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara pentadbiran.
Beliau pernah bertanyakan Tok Kenali berhubung cara untuk memajukan bandar Kota Bharu. Tok Kenali mencadangkan agar membina banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan bandar Kota Bharu akan maju.
Cadangan itu kemudiannya dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Sultan Ismail turut menghormati Tok Kenali.
Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie, iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir, Al-Khazan.
Mengajar di Masjid Muhammadi
Selain mengajar di Pondok Kampung Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi.
Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi atas permintaan Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar).
Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu yang didiami pelajar-pelajar yang datang serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia). Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu. - Kenali Ulamak 
TOK KENALI (1870 - 1933)....Ulama' pewaris para nabi
TOKOH ULAMA' KELANTAN

Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.


Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad.

Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H – 1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum ini, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa – bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah : Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai pula nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato’ Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor), Dato’ Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).

Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Saleh Kenali (menetap di Makkah) – juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar.

Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.


Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian. paihkelate.blogspot.com 

Lagi Kisah Ulamak di SINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...