Kini Bukan Mat Sabu, Tapi UMNO Yang Nak Ubah Fakta Sejarah
PAS mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Profesor Zainal Kling agar menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British.
“Demikianlah sepatutnya seseorang ahli akademik apalagi yang bergelar profesor mengemukakan sesuatu pandangan supaya pandangannya dapat dinilai dan dibahaskan oleh ahli-ahli lain dalam komuniti akademik. Mengeluarkan sesuatu cadangan intelek atau tesis tidak memadai hanya melalui sehelai dua muka surat kenyataan akhbar,” kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.
Malah kata beliau, mengemukakan cadangan intelek melalui cara itu bukanlah kaedah ahli-ahli akademik, sebaliknya cara orang awam termasuklah ahli-ahli politik.
“Sekiranya sesuatu pandangan ahli akademik termasuklah profesor dikemukakan melalui kaedah ini, maka ia tidak mempunyai nilai intelek, sebaliknya samalah seperti sembang-sembang politik orang awam di kedai kopi,” tambah beliau mengulas mengenai pandangan beberapa ahli akademik sejak kebelakangan ini bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya hanya mendapat naungan Britain.
“Sebaliknya, sekiranya seseorang ahli politik menggunakan kaedah akademik iaitu menerbitkan artikel atau buku ilmiah untuk mengemukakan pandangannya, maka pandangan itu adalah sarat nilai akademik.
“Oleh sebab itu, PPP melihat tindakan MPN itu merendahkan martabat akademik mereka sendiri,” katanya lagi.
Ahmad Zuhdi juga menambah, cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal Kling, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil, sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai ahli akademik dalam mahupun di luar negara.
“Kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Tanah Melayu, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri-negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British.
“Di atas premis inilah, kajian-kajian sama ada di peringkat sarjana Muda, sarjana, doktor falsafah dan pasca kedoktoran telah dibuat sejak bertahun-tahun,” katanya lagi.
“Takrifan kolonialisme yang dipilih juga tidak dijelaskan kaedah pentakrifannya dan jauh sekali keabsahan sumbernya. Tidakkah istilah ‘naungan’ pada kurun ke-19 lazimnya adalah merujuk kepada ‘colonial protectorate’.
“Demikian juga dengan istilah ‘lindungan’ lazim merujuk kepada penjajahan sebagaimana status negara Brunei sebelum merdeka. Kalaulah kedua istilah ini tidak bermaksud jajahan, maka Empayar British adalah kecil iaitu hanya Australia, New Zealand, Kanada, India-Pakistan, Sri Langka, Nigeria, Papua New Guinea dan Negeri-negeri Melayu Selat.
“Menyedari hakikat tersebut, tesis yang dikemukakan oleh MPN bukan hanya melibatkan Malaysia, bahkan status negara-negara lain seperti Uganda, Maldives, Palestin dan Mesir,” kata Ahmad Zuhdi lagi. -TMI
Khaled: Subjek Sejarah dikaji semula
KUALA LUMPUR, 9 Sept — Silabus subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan Teologi Negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya ‘Historical Fact and Fiction’.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (gambar) berkata sehubungan dengan itu satu kajian mendalam mengenainya akan diadakan oleh fakulti sejarah.
“Lepas itu macam mana nak sebarkannya, nak jadikan silabus sekolah menengah atau universiti ke kita akan fikirkan, soalnya sekarang kita nak kaji dulu ‘what is the real’ sejarah,” kata beliau dipetik Bernama Online.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran buku karya Syed Naquib di kampus Universiti Teknologi Malaysia Kampus Antarabangsa di sini, hari ini. Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Sultanah Johor yang juga Canselor bagi universiti itu, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah.
Khaled berkata Syed Naquib dalam kajiannya mewujudkan beberapa persoalan kemungkinan beberapa sejarah penting tidak dicatitkan sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga adalah berat sebelah.
“Sejarah yang seperti dirujuk kita sebelum ini mungkin diambil daripada penulisan barat, jadi apa yang ada sebelum tertulis oleh barat, maknanya sebelum kedatangan mereka, tidak tercatat apa-apa fakta.
“Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sejarah tidak diputar belit, cuma terdapat beberapa fakta yang tidak ditulis.
“Jadi dalam hal ini mungkin sejarah boleh dicungkil bukan semata-mata maknanya ada putar belit sejarah, tapi ia lebih kepada mencari kebenaran, ia telah ditulis secara tidak betul,” katanya.
Bagaimanapun, Khaled memaklumkan bahawa buku itu tidak akan digunakan bagi mengganti buku teks sedia ada di peringkat sekolah, namun akan dijadikan sebagai rujukan bagi kajian yang lebih mendalam. -TMI
Pada awalnya, sewaktu kisah Mat Indera menggegarkan negara, Mat Sabu dituduh ingin mengubahkan fakta sejarah.
Namun setelah terbongkar beberapa kisah yang menunjukkan bahawa UMNO itu talibarut penjajah, terutama pihak "mata-mata" yang mempertahankan rejim kolonial, kini UMNO berhempas-pulas untuk menafikan "fakta sejarah" tersebut. Maka timbul kenyataan menyatakan kononnya Malaya tidak pernah dijajah, hanya dinaungi dan dilindungi British.
Kemudian timbul kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang tersipu malu dengan kenyataan dan kebenaran bahawa anggota polis yang berkhidmat dahulu adalah polis kolonial tetapi sebaliknya beliau mendakwa "kami dari dulu bukan polis British, kami polis negara ini".
Sedangkan seluruh dunia tahu, polis-polis di negara-negara kolonial British mempunyai identiti yang serupa, samada di Malaya, Afrika, India atau mana-mana tanah jajahan British - dari segi pakaiannya, "rumah pasongnya", tindakannya, modus operandinya -kesemuanya adalah tertakluk kepada apa yang diamalkan oleh polis British sendiri. Bukan sekadar polis, malah tentera, sistem kehakiman, kabinet, semuanya adalah diwarisi dari 'penjajah' British dengan sedikit "make-up" sana sini untuk identiti setempat.
Malah saki-baki pegawai-pegawai kerajaan dengan mentaliti penjajah masih kedapatan di beberapa jebatan kerajaan. Termasuk para menteri kabinet juga. Malah ada diantaranya lebih inggeris daripada penjajah sendiri.
Itu fakta, itu kenyataan, itu kebenaran yang tidak boleh dipadam dari lembaran sejarah.
Tetapi kini UMNO terasa begitu malu kerana sudah terbongkar bahawa mereka adalah talibarut penjajah, maka fakta sejarah itu hendak diubahnya sesuka hati untuk memadamkan rekod berkenaan.
Sejarah sebenar itu tetap wujud, seperti matahari yang bersinar sekalipun awan mendung hitam pekat cuba melindungi cahaya berkenaan.