Monday, February 6, 2012

UMS GEDUNG ILMU, BUKAN GEDUNG RASUAH

PEMUDA PAS Sabah hari ini melahirkan kebimbangan mengenai gejala rasuah dan penyelewengan yang didakwa berlaku melibatkan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terkemuka di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu menyatakan kegusaran tersebut setelah hebat diperkatakan di media massa terutama beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan 3 Februari lalu.

“Kita (PAS) kecewa dengan perkembangan ini. Macam mana sebuah universiti boleh mula terjebak dengan gejala tidak bermaruah seperti ini.

“Kita (PAS) tidak kisah sekiranya Umno BN yang terlibat sebab ini kerja dia. Tapi, ini universiti, yang tempatnya untuk mereka yang berilmu sahaja... kalau mereka itu budak-budak tak mengapalah... ini dah tua, ilmu banyak, akademik tinggi,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pada 3 Februari yang lalu, akhbar tempatan melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat beberapa pegawai Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung tuntutan palsu melibatkan kontrak bernilai RM43 juta bagi kerja mekanikal dan penyelenggaraan elektrik di universiti tersebut.

Turut dilaporkan ialah, seorang ahli politik Sabah bergelar Datuk yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian yang turut terheret dengan penyelewengan ini.

Menurut Lahirul, sekiranya laporan SPRM itu benar maka ianya akan menjejaskan nama baik UMS yang sememangnya terkenal dengan kepesatan pembangunan akademik dan keindahan kawasan persekitaran.

“Jika ini benar, maka untuk apa lagi UMS berselindung. Bersihkan segera institusi ini daripada ‘tangan-tangan jahat’.

“Ini gedung akademik. Pelajar datang nak belajar dengan cemerlang, dengan kemudahan yang mereka dapat, suasana yang diperoleh... bukan mereka merasai apa yang berlaku ini. Jangan ajar pelajar-pelajar ini rasuah dan menyeleweng,” tegas Lahirul.

Tambahnya, persepsi masyarakat terhadap universiti itu akan terjejas berikutan pendedahan tersebut.

“Ada juga kemungkinan, persepsi masyarakat akan terjejas. Oleh itu, perlu sekiranya langkah tindakan pantas SPRM dan UMS dilakukan dengan segera,” katanya. - Sabahkini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...