Friday, February 3, 2012

SPRM cuba musnah reputasi Shamsubahrin- Surendran

KUALA LUMPUR 3 Feb: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mencemarkan reputasi saksi penting dalam kes skandal National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail.

Surendran mengulas laporan News Straits Times semalam yang memetik sumber mengenai laporan SPRM yang dibuat bekas perunding NFC itu.

Laporan itu menyebut Shamsubahrin, dalam kenyataannya kepada SPRM menyatakan bahawa Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail ‘tidak ada masa mengarahkan’ beliau merasuah anggota polis.

Menurut Surendran, laporan itu bercanggah dengan laporan kepada SPRM dan laporan polis yang dibuat oleh Shamsubahrin pada 27 Januari lalu, yang turut dimiliki pihaknya.

“Ini merupakan dakwaan yang benar-benar palsu bertujuan untuk mencemarkan reputasi Shamsubahrin dan melindungi mereka yang terlibat dalam skandal NFC.

“Kami boleh mengesahkan bahawa Shamsubahrin tidak berkata dalam kenyataan SPRM beliau bahawa Datuk Seri Salleh ‘tiada masa mengarahkan beliau merasuah polis,” tegas Surendran.

Katanya, anak guamannya itu mengutuk laporan tidak berasas dan bertanggungjawab serta berbaur fitnah tersebut.

Tegasnya, dakwaan rasuah oleh Shamsubahrin disokong oleh bukti khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Salleh, namun sehingga kini SPRM tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap tertuduh.

Sehubungan itu, beliau menuntut SPRM mendedahkan peranan mereka dalam laporan palsu itu kepada media dan matlamat mereka berbuat sedemikian.

“Kami seterusnya menuntut untuk tahu mengapa tiada tindakan serius diambil oleh SPRM atau polis terhadap laporan rasuah yang disokong oleh SMS Shamsubaharin.

“Pendakwaan bermotif politik yang berterusan oleh anak guam kami perlu dihenti segera. Beberapa pendakwaan terhadap Shamsubahrin adalah tidak sah dan pada hakikatnya tidak berasas dan akan dilawan di mahkamah,” tegas beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26145

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...