Wednesday, February 8, 2012

SPR: Setiap pengundi wajib dicalit

undiSHAH ALAM – Kesemua lebih 12 juta pengundi wajib melalui proses calitan menggunakan dakwat kekal jika mahu mengundi dalam mana-mana pilihan raya negara ini selepas ini, termasuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pengundi yang enggan jari mereka dicalit atau mana-mana anggota badan yang mudah dilihat, jika seseorang itu tiada jari tangan, tidak akan diberikan kertas undi.

"Tiada pilihan (bagi pengundi)," kata Wan Ahmad kepada Sinar Harian.

Buat julung kali, PRU13 yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat, akan menggunakan dakwat kekal.

Wan Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan proses pilihan raya yang diadakan benar-benar bersih dan bebas persepsi wujudnya unsur penggundian berganda.

Penggunaan dakwat kekal juga telah diluluskan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen akhir tahun lalu. Ia antara pembaharuan yang bakal diperkenalkan pada PRU13 dan SPR juga telah meminda Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, jari atau tubuh seseorang pengundi akan dicalit menggunakan dakwat kekal sebaik sahaja namanya dibacakan oleh kerani yang ditugaskan di saluran-saluran mengundi.

SPR menyediakan 22,000 saluran mengundi dan setiap saluran mengundi akan dibekalkan tiga botol dakwat kekal.

“Kemudian, barulah pengundi diberikan kertas undi. Jika enggan dicalit, kertas undi tidak akan diberikan. Ini peraturan,” katanya.

Menjelaskan cara calitan dibuat, Wan Ahmad berkata, pengundi akan meletakkan jari telunjuk pada papan khas yang akan disediakan.

"Kemudian, jari telunjuk mereka yang akan dicalit. Prosesnya, kita akan mencalit pada jari tangan kiri, kita mula dengan tangan kiri, perkara ini sudah ditetapkan dalam peraturan," katanya.

Bagaimanapun jika terdapat kes seseorang pengundi itu kudung jari telunjuk kiri, maka SPR akan menggunakan jari hantu atau manis atau kelinking atau ibu jari tangan kiri. Sekiranya kudung semua jari tangan kiri, maka beralih ke jari tangan kanan melalui prosedur yang sama.

“Bagi kes-kes istimewa, terpencil seperti pengundi yang tidak bertangan atau kudung, maka proses calitan akan dilakukan pada mana-mana bahagian tubuh mereka yang boleh dilihat, seperti dengan mudah selepas SPR mendapat kebenaran daripada pengundi tersebut.

“Petugas SPR juga tidak akan menyentuh tangan atau jari pengundi, kerana kami akan menggunakan 'pad' khas untuk pengundi meletakkan jari masing-masing," katanya lagi.

Wan Ahmad berkata, setakat ini sebahagian besar petugas SPR sudah diberi latihan bagi tujuan proses calitan itu. Suruhanjaya sedang mengendalikan sesi taklimat kepada pengurus-pengurus pilihan raya dan ia akan selesai bulan depan.

Mengulas lanjut, kata Wan Ahmad, SPR belum menempah dakwat kekal kerana belum pasti bila PRU13 akan diadakan.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya telah mengenal pasti syarikat pembekal dan sumber negara pengeluar termasuk jenama serta warna dakwat, tetapi ia dirahsiakan demi keselamatan.

SPR juga akan membuat promosi besar-besaran sebagai kaedah pemberitahuan kepada umum supaya berhati-berhati sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan calitan lebih awal untuk memperdaya atau mengelirukan mana-mana pengundi.

“Itu adalah tipu daya. Jangan benarkan sesiapa pun buat calit jari anda kerana calitan itu hanya boleh dibuat oleh petugas SPR pada hari mengundi kelak,” tegas beliau. SH

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...