Monday, February 20, 2012

siasat Ahmad Said bawah takzir??

PAS Terengganu membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengenai dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menuduh PAS sebuah ‘parti ajaran sesat’.

Laporan tersebut diserah oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik kepada Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh di pejabatnya di Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Mengikut laporan yang diserahkan kepada JHEAT itu, Ahmad boleh disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) dan Seksyen 51.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) tersebut menjelaskan, mana-mana orang yang mengatakan atau menomohkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan isyarat atau gambaran tampak atau dengan apa-apa perbuatan aktiviti atau perlakuan atau dengan menganjurkan, menaja atau membuat perkiraan bagi apa-apa aktiviti atau selainnya dengan apa-apa cara, bahawa mana-mana orang yang menganut agama Islam atau orang yang tergolong dalam apa-apa kumpulan, golongan atau perihalan orang menganut agama Islam.

“Pertama, adalah kafir. Kedua, tidak lagi menganut agama Islam. Ketiga, tidak sepatutnya diterima atau tidak boleh diterima sebagai menganut agama Islam atau Keempatnya, tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam agama Islam.

“Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” jelas Abu Bakar pada sidang medianya selepas menyerahkan laporan tersebut .

Katanya lagi, menurut Seksyen 51 Enakmen yang sama pula mana-mana orang yang dengan sengaja mengeluarkan atau menyebarkan kata-kata yang bertentangan dengan Hukum Syarak yang mungkin boleh memecahkan keamanan di mana-mana tempat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat mendakwa Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan dengan niat jahat dan sengaja.

Justeru, katanya kenyataan tersebut telah menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, kenyataan tersebut boleh difahami secara tersurat dan tersirat bahawa pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah golongan yang terlibat dengan ajaran sesat.
Justeru, beliau memohon supaya JHEAT menyiasat kenyataan itu di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. Harakah

http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/siasat-ahmad-said-bawah-takzir.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...