Sunday, February 12, 2012

Penganalisis : PRU 13 selepas isu SBPA selesai

Jika pilihan raya umum diadakan sekarang, BN akan menang sebagaimana tahun 2008.
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan parlimen selepas isu skim saraan baru penjawat awam (SBPA) berjaya diselesaikan, kata penganalisis tempatan, Prof Dr Mohd Agus Yusof.

Bagaimanapun, kata pensyarah UKM itu jika pilihan raya umum diadakan sekarang, BN akan menang sebagaimana tahun 2008.

Katanya, ramalan itu hanya untuk hari ini dan bukannya untuk masa depan kerana politik adalah perkara yang berubah-ubah.

“Kerajaan akan buat pilihan raya dalam tempoh terdekat tetapi mahu menyelesaikan isu itu terlebih dahulu.

“Kerajaan tidak bimbang dengan 1.2 juta kaki tangan awam tetapi pengaruh di dalam lingkungan mereka. Kalau pensyarah universiti, ada pelajar-pelajarnya. Kalau ketua jabatan, ada kaki tangannya,” kata beliau.

Menurut banyak pihak, Najib akan membubarkan parlimen dalam masa terdekat ini walaupun perdana menteri tidak mahu mengesahkannya.

Agus berkata, asas yang menyebabkan beliau mengatakan BN akan menang kerana rakyat masih tidak tertekan dengan kehidupan yang ada hari ini.
Orang masih kenyang

“Maknanya mereka boleh menerima kerana harga barangan belum naik, harga minyak belum naik. orang masih kenyang mereka tidak peduli.

“Tetapi perut orang kosong, mereka akan swing,” tambah beliau lagi.

Najib dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke 13 pada bila-bila masa walaupun beliau menolak membubarkan parlimen dalam masa terdekat ini.

Mandat BN akan berakhir pada Mac 2013.

Bagaimanapun, menurut Agus, keputusan sama ada BN atau pembangkang menang hanya boleh ditentukan pada saat-saat akhir menjelang hari mengundi.

“Politik adalah satu perkara yang dinamika iaitu benda yang berubah setiap masa, malah pada saat akhir pun orang boleh berubah.

‘Sebagai contoh hari ini orang beri RM500, bila dekat nak mengundi orang lain beri beri RM1, 000 orang tak ingat lagi yang RRM500 itu,kata Agus. FMT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...