Friday, February 10, 2012

Operasi KSSB Dipantau SPRM Dan Transparency International

IMG_1364SETIAWANGSA,10 FEB : Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif bagi memastikan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, diuruskan secara telus dan bertanggungjawab.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibenarkan memasuki secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

“Ketika KSSB dikritik pada 2009, saya telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan SPRM diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan dan menawarkan mereka untuk menempatkan pegawai-pegawai di pejabat KSSB.

“SPRM menerima menerima tawaran ini dan sejak itu pegawai dan kakitangan SPRM bebas keluar masuk ke pejabat KSSB,” katanya ketika mengulas dakwaan rasuah melibatkan operasi pasir di Selangor yang disiarkan di sebuah laman blog.

Menteri Besar berkata, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

“Kita meminta Transparency International mencalonkan dua nama untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB kerana kita berpendapat, sekiranya lantikan dibuat oleh kerajaan negeri, individu berkenaan mungkin tidak berlaku bebas.

“Transparency International telah melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu,” katanya sambil menambah, KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.

Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

“Kita bersedia menerima maklumat daripada orang ramai untuk membantu Kerajaan Negeri dan anak syarikat supaya lebih telus dan bertanggungjawab. Kita serius membanteras rasuah dan kerana itu kita telah mengambil langkah-langkah tertentu sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri komited dalam usaha memerangi rasuah di semua peringkat termasuklah menyediakan geran berjumlah RM15 juta yang disediakan dalam Bajet 2012 Selangor yang diumumkan pada November 2011 lepas.

Tambah beliau lagi, semasa perbincangan di dewan negeri bulan November lepas ada beberapa adun membangkitkan rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam KSSB, terutama daripada pihak pimpinan Umno.

“Saya telah meminta dua orang pengarah daripada Transparency International untuk berjumpa dengan pihak Umno itu untuk meminta maklumat yang betul untuk menangkap orang-orang yang dikatakan berlaku melakukan rasuah,sampai sekarang tidak mendapati perkara itu,” katanya. Selangorkini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...