Friday, February 10, 2012

Ceramah khas dedah BN gadai tanah orang Melayu

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat akan mengadakan ceramah perdana khas berhubung isu penggadaian tanah orang-orang Melayu di negara ini oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).


Ceramah tersebut akan diadakan pada 12 Februari ini mulai jam 9.00 malam di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Cawangan Lembah Klang (Anak Lembah Klang), Mohd Nasaie Ismail berkata, tujuan ceramah itu diadakan bagi mendedahkan usaha penggadaian tanah rakyat Malaysia, khususnya tanah-tanah Felda dan Felcra, oleh pemerintah Barisan Nasional.

Menurutnya, ceramah tersebut akan disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, selain itu, beberapa penceramah lain yang pakar dan berpengalaman khas dalam hal ehwal tanah, Felda dan Felcra, turut terlibat.

"Di antaranya ialah bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Tak Kee Kong, bekas Naib Presiden Kanan Felcra, Datuk Ramli Buyung dan Presiden Anak Kebangsaan, Mazlan Aliman," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai di seluruh Lembah Klang terutamanya dijemput hadir untuk mengikuti ceramah tersebut bagi memahami secara dekat masalah penggadaian tanah rakyat Malaysia oleh pihak Umno BN.

Katanya, tindakan penggadaian tanah orang-orang Melayu, khususnya dalam Felda, kini amat giat dilakukan oleh pihak Umno BN menerusi pihak pentadbiran organisasi tersebut melalui usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Saham Malaysia.

Kini pihak Umno BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagaimanapun sedang giat mempengaruhi orang ramai dengan dakwaan tindakan yang dilakukan itu akan mendatangkan keuntungan besar kepada orang-orang Melayu khususnya kepada para peneroka sendiri.

Walaupun tentangan telah diberikan oleh pelbagai pihak termasuk para peneroka sendiri, pihak pentadbiran Felda dan para pemimpin Umno BN bagaimanapun tetap berusaha untuk meneruskan tindakan tersebut demi kepentingan peribadi mereka sendiri.

Jawapan balas para pemimpin Umno BN berhubung perkara itu sememangnya boleh mengelirukan orang ramai jika tidak dihalusi dengan betul.

Usaha Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Anak mengadakan ceramah tersebut, tegas Nasaie, perlu dimanfaatkan oleh orang ramai dengan baik, dengan bersama-sama hadir mengikutinya, bagi membolehkan pelbagai pihak mengetahui rahsia sebenar tindakan tersebut dengan lebih jauh. Harakah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...