Tuesday, February 14, 2012

Noh Jangan Tuduh Sebarangan

SHAH ALAM 13 FEB : Sekolah luar bandar di Selangor mencatat pencapaian akademik yang lebih baik daripada sesetengah sekolah bandar, malah mempunyai tahap kelulusan pelajar yang lebih tinggi kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Oleh itu, Abdul Khalid mengesa Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar agar mendapat fakta yang sebenar mengenai taraf pendidikan di Selangor sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas.

Abdul Khalid juga mengingatkan Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang sektor pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan pusat yang mana Noh sendiri ialah menteri kabinet.

“Itu saya suruh Noh Omar baca dulu laporan. Ini menunjukkan yang dalam Kabinet dia tak tahu perkembangan pendidikan. Untuk berkata pendidikan luar bandar adalah lemah itu satu tamparan kepada Kementerian Pendidikan.

“Bukan Selangor kerana Selangor tidak ada belanjawan pendidikan kerana pendidikan adalah isu persekutuan. Jadi kena berhati-hati. Kalau nak tembak pun tembak orang betul.

“Kalau tidak salah pulak orang,” kata Abdul Khalid pada sidang media di sini hari ini.

Pada Feb 12, Noh mendakwa kerajaan Selangor tidak mengambil berat tentang pendidikan, terutamanya pendidikan pelajar luar bandar.

Noh mengkritik keputusan kerajaan Selangor merobohkan bangunan asrama Yayasan Selangor di kawasan Kampung Pandan Kuala Lumpur.

Tujuan asrama tersebut dibina adalah bagi menetapkan murid dari luar bandar supaya mereka dapat menghadiri sekolah-sekolah terkemuka di Kuala Lumpur seperti Victoria Institute dan SMK St John.

Menjawab tomahan Noh, Abdul Khalid berkata, perobohan tersebut adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Yayasan Selangor yang mengambil kira struktur institusi pendidikan di Malaysia.

“Oleh kerana sistem pendidikan di Malaysia sudah tidak tertumpu di sekolah sekolah tertentu, tapi sudah sebar meluas supaya setiap daerah ada ‘excellence centre’.

“Bukan macam dulu kita hanya buat satu atau dua sekolah sekarang banyak sekolah supaya cara pendidikan adalah menyeluruh.” Selangorkini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...