1. Valentine's Day bukan dari ajaran dan syiar Islam. Menetapkan 14 Feb saban tahun sebagai hari sambutannya juga tiada dalam Taqwim Islam. Justeru itu tidak berbangkit langsung soal keharusan ummat Islam menyambutnya saban tahun. Lagikan sambutan Maulud Nabi saw terdapat khilaf yang besar di dalam Islam, inikan pula sambutan Valentine's Day.
2. Apa yang saya tulis sebelum ini (teks di bawah) adalah mengenai cara meraikan kekasih hati, sama ada bagi mereka yang berada di ambang perkahwinan atau yang telahpun mendirikan rumahtangga. Meraikan kekasih hati dengan syarat, adab dan akhlak yang saya nyatakan adalah dibenarkan oleh Islam. Inilah juga antara modul yang terdapat dalam Lajnah atau biro Baitul Muslim Jamaah Islam.
3. Justeru, ia tidak kena mengena dengan Valentine's Day. Saya juga telah tegaskan Islam tidak menetapkan tarikh tertentu untuk meraikan kekasih hatinya. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan memastikan tiga adab dan akhlak Islami dilaksanakan iaitu :
a. tidak berdua - duaan kecuali ditemani mahram.
b. tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi.
C. tidak melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama.
4. Ertinya saya sedang mengemukakan alternatif agar anak-anak muda muslim tidak perlu terpengaruh dengan budaya dan syiar agama lain. Sebaliknya Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam membina rasa cinta dan menyemai benih kasih.
5. Matlamat tidak menghalalkan cara sebagaimana cara yang salah tidak boleh dilakukan biarpun untuk mencapai matlamat yang baik. Justeru itu, cara jangan bertentangan dengan syariat dan matlamatnya pula mestilah berasaskan syariat Allah swt.
*Kenyataan media terbaru oleh Nasrudin bin Hassan selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, dipetik dari Facebook beliau pada kira-kira jam 4 petang, 9 Februari 2012.
__________________________________________________________________________________________
1. Memadu kasih antara dua insan lelaki dan perempuan adalah antara nikmat anugerah Allah swt kepada ummat manusia. Malah kasih dan cinta yang berputik lalu berbunga dan berbuah inilah menjadikan bumi ini meriah dengan penghuninya. Namun Islam tidak menetapkan hari - hari tertentu untuk meraikannya.
2. Adam dan Hawa pernah memadu kasih. Sunnah mereka berdualah menjadi fitrah ummah yang tidak mungkin boleh dipadam. Lantas Islam dibawa datang dari tuhan yang sama dengan tuhan yang telah mencipta manusia lalu menyatukannya dengan kasih dan cinta, malah tuhan yang sama jua telah menyusun kehidupan ini dengan penuh sistematik agar cinta tidak bernoda dan kasih tidak menjadi tragedi.
3. Islam mensyariatkan institusi perkahwinan untuk meluruskan kasih dan cinta. Justeru itu, Islam mengizinkan lelaki dan perempuan saling membina perasaan, memupuk rasa kasih serta memekarkan bunga cinta antara mereka selama mana mereka tidak membiarkan syaithan dan iblis menjadi perantara yang menjerumuskan hubungan mereka ke lembah maksiat dan mungkar.
4. Anak-anak muda muslim dan muslimah boleh meraikan kekasih hati mereka terutama mereka yang telah berada di ambang perkahwinan, samaada sempena hari kekasih ataupun pada hari lebaran yang lain selama mana mereka memelihara adab dan akhlak Islam. Antaranya :
a. pastikan tidak berdua-duaan, sebaliknya ditemani mahram
b. tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi
c. tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama
5. Mereka mungkin perlu bertemu pada saat-saat tertentu dengan memelihara adab dan akhlak yang telah saya nyatakan tadi, bagi mereka saling mengenali dan menyelami isi hati mereka sebagaimana mereka perlu membincangkan rancangan masa depan dan persiapan mereka menghadapi gerbang perkahwinan.
6. Namun anak-anak muda muslim perlu elakkan budaya asing dan syiar agama lain dibawa masuk mewarnai corak dan gaya kehidupan mereka. Lantaran Islam sudah lengkap dengan tatacara dan gaya hidup yang indah dan mendamaikan. Islam tidak pernah menghalang kemahuan dan keperluan manusia tetapi Islam memurnikan kemahuan dan mengurus keperluan mereka agar tidak terhindar dari redha Allah swt Tuhan yang mencipta mereka.
7. Meraikan kekasih hati tidak terhad kepada anak-anak muda yang belum berumahtangga, bahkan terlebih wajar ianya diraikan oleh pasangan yang sudah berumahtangga, samaada yang baru dibina ataupun yang sudah lama. Keraian tersebut boleh menyuburkan rasa kasih dan cinta yang sekian lama bersemi. Hubungan suami isteri bertambah intim dan keluarga kian erat. Terutama seorang pejuang, terlebih aula ia memiliki rumahtangga yang mendamaikan agar aksi di medan juang lebih berkesan.
8. Saya mengesyorkan, sempena hari kekasih ataupun apa jua nama hari lebaran yang membawa maksud serupa, diraikan dengan hadiah dan ziarah. Jika melibatkan pasangan yang belum diijab kabul, pastikan tiga adab dan akhlak yang telah saya tegaskan tadi laksanakan.
9. Tidak susahkan? Hanya perlu ditemani mahram seperti adik beradik ataupun ibubapa serta berpakaian menutup aurat. Ianya untuk keselamatan anda juga. Ingat, kita hidup di zaman yang sangat terdedah kepada kemungkinan maruah kita dicalar dan diragut dengan begitu mudah dan rakus jika kita tidak mengambil langkah berhati-hati.
10. Saya ucapkan selamat meraikan kekasih hati anda dengan akhlak Islami. Semoga rumahtangga anda, samaada yang bakal dibina atau yang telah lama dibina akan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah swt.
Nota: sempena sambutan Maulidur Risaalah, saya juga mengharapkan semua khasnya anak-anak muda muslim/ah meletakkan rasa kasih dan cintanya kepada Junjungan Besar Nabi kita Muhammad saw. mengatasi cinta dan kasih kita kepada manusia yang lain.
*Kenyataan media oleh Nasrudin bin Hassan selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, dipetik dari laman Facebook beliau.