Jan 17, 2012 Radio Free Sarawak (RFS) sedang mempersiapkan diri untuk pilihan raya umum akan datang, dengan mengumumkan nombor telefon tempatan bagi membolehkan pendengar berinteraksi dengan stesen radio yang beroperasi tanpa permit kerajaan itu.
"Ini adalah penting, terutamanya sepanjang tempoh pilihan raya supaya pendengar boleh menghubungi kami secara langsung bagi meluahkan masalah dan isu yang dihadapi mereka serta juga memberi pandangan dan pendapat mereka," kata pengasas stesen radio itu, Clare Rewcastle Brown (kiri), yang juga memiliki laman web Sarawak Report.
Mengikut spekulasi, pilihan raya umum ke-13 diramalkan akan diadakan seawal bulan Mac atau Jun tahun ini.
Selain nombor telefon yang boleh dihubungi, stesen yang berpangkalan di London itu juga memperkenalkan beberapa pengacara baru apabila ia dilancarkan semula esok. Antara mereka, termasuk penyampai bahasa Iban yang terkenal Christina Suntai, dan kemunculan semula Peter John Jaban, DJ asal stesen ini yang menggunakan nama Papa Orang Utan (atas, kanan).
Dalam satu kenyataan media semalam, Rewcastle Brown berkata sebagai pelancaran itu, stesen berkenaan berjanji akan membuat pendedahan eksklusif yang melibatkan sebuah syarikat yang berpangkalan di Sarawak.
Stesen anti-Taib juga akan kembali ke udara melalui frekuensi radio asalnya pada gelombang pendek 15420 kHz, selepas terpaksa ditukar kerana disekat semasa pilihan raya Sarawak April tahun lalu.
Ia akan bersiaran dari jam 6 petang hingga 8 malam setiap hari.