Tuesday, January 17, 2012

Raja Nong Chik guna dana DBKL untuk kepentingan diri??

Saya ingin menyentuh laporan media Sinar Harian bertajuk "Nong Chik dakwa Nurul Izzah tak buat kerja" bertarikh 15 Januari 2012.

Dalam laporan tersebut, Raja Nong Chik , Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, telah mengatakan kononnya ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, tidak melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai ahli parlimen.

Saya berasa Raja Nong Chik bercakap tak kena pada tempatnya. Sebenarnya beliau lah yang patut lebih risau, kerana ramai yang mengatakan beliau tidak menunaikan tanggungjawab kepada seluruh Wilayah Persekutuan, yang merangkumi 11 kawasan parlimen serta Putrajaya dan Labuan. Saya tidak mahu menyentuh apa yang Nurul Izzah Anwar lakukan di Lembah Pantai seperti yang beliau dakwa kerana warga Lembah Pantai lebih faham menilai sendiri apa yang dilakukan oleh MP kesayangan mereka dan tak perlu untuk Raja Nong Chik menuduh yang bukan bukan.

Pada bulan Ramadhan yang lalu, sebagai contoh, beliau menumpukan hampir 85% program-program beliau di satu kawasan parlimen sahaja dan jelas mengabaikan 12 kawasan parlimen Wilayah Persekutuan yang lain yang sudah tentu menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Wilayah Persekutuan.

Dari segi penggunaan dana, saya difahamkan bahawa Raja Nong Chik menggunakan dana DBKL untuk kepentingan politik beliau. Tidak lama lagi, insyaAllah pihak kami akan membongkar isu ini dengan lebih mendalam.

Saya ingin bangkitkan isu kerja-kerja cat bangunan PPR - adakah tender-tender cat tersebut diberi secara terbuka? Atau adakah projek-projek tersebut diberikan kepada kroni-kroni Raja Nong Chik?

Saya juga ingatkan Raja Nong Chik betapa kecewa penduduk Kampung Bharu terhadap beliau disebabkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu, hingga mereka menebarkan kain rentang yang menghalau beliau keluar dari kawasan mereka.

Selain daripada itu, penduduk Lembah Pantai sedar bahawa kerja-kerja membaiki longkang, sampah, jalan-jalan berlubang, dan mengecat bangunan awam adalah dibawah DBKL, dan DBKL terletak dibawah kementarian beliau kerana segala kuasa, kewangan dan jentera kerajaan yang sepatutnya dipilih oleh rakyat adalah dibawah kuasa dan tanggungjawab Raja Nong Chik. Oleh itu jika longkang tersumbat, sampah berselerak, jalan berlubang, nyamuk membiak dan sebagainya hanya bermakna Raja Nong Chik lah yang tidak berkerja.

Maka sekali lagi saya ingin ingatkan Raja Nong Chik, beringat-ingatlah: penduduk Wilayah Persekutuan melihat setiap perkara yang anda lakukan.

*Kenyataan media oleh Mohd Amin Mian selaku Naib Ketua Cabang PKR Lembah Pantai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...