Thursday, January 19, 2012

Qazaf: Peguam Anwar kemuka hujah 30 Jan

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Rayuan kes isu qazaf akan dihujah oleh barisan peguam yang mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan Syariah pada 30 Januari ini, jam 9 pagi.

Penghujahan itu diteruskan apabila notis rayuan yang dikemukakan oleh peguam Anwar dibantah oleh peguam yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dan dua lagi, Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali yang mohon agar Mahkamah Rayuan Syariah menolak permohonan tersebut.

Salah seorang peguam yang mewakili Anwar, Dorina Abdullah (gambar) yang ditemui di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya akan membahas terhadap bantahan rayuan yang dikemukakan berhubung kes qazaf yang sebelum ini tertangguh.

"Pihak kami telah menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bagi mendengar semula permohonan qazaf yang tertangguh sejak sekian lama apabila Hakim Mahkamah Syariah Kuala Lumpur memberitahu beliau tiada kuasa untuk mengarah pihak pendakwa syarie agar mengambil tindakan mendakwa Saiful Bukhari berhubung kes qazaf.

"Tetapi belum pun lagi perkara itu diputuskan pihak peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka itu telah memfailkan notis kepada mahkamah agar ia ditolak kerana terdapat kesilapan teknikal yang kecil, dan kami akan membahaskan perkara tersebut yang mana ia tidak memberi kesan kepada keseluruhan kes tersebut," jelasnya yang mewakili Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi.

Tambahnya lagi isu pendakwaan qazaf terhadap Saiful ini masih jauh lagi tetapi sudah ada halangan awal.

"Belum lagi di peringkat pendakwaan sudah ada halangan, kita masih di peringkat awal. Kita akan meneruskan dakwaan qazaf ini walaupun terdapat halangan," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahu atau kedua-duanya.

Anwar yang sebelum ini diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman. - Harakah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...