Thursday, January 19, 2012

Pemuda PAS sokong himpunan BERSIH 3.0

riduan mohd norJan 19, 2012 Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyokong usaha Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan himpunan BERSIH kali ketiga sekiranya cadangan mengenai reformasi pilihanraya yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan tuntutan BERSIH 2.0 gagal dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPPP berpandangan, sekiranya kerajaan gagal menepati syor dan cadangan PSC serta cadangan BERSIH 2.0, ini bermakna kerajaan tidak serius mahu membersihkan sistem pilihanraya di Malaysia.

Kerajaan juga, tambahnya, dianggap hanya ‘bermain wayang’ dengan penubuhan PSC kononnya mahu memperbaiki sistem pilihanraya di Malaysia.

"Apakah gunanya penubuhan PSC serta lapan tuntutan BERSIH sekiranya kerajaan gagal mengotakan janjinya," katanya Riduan dalam satu kenyataan hari ini.

"Sekiranya ia berlaku, tidak ada keperluan untuk berbincang dan berdialog antara BERSIH dengan kerajaan kerana kerajaan jelas tidak menghormati suara rakyat," tambahnya.

Sehubungan itu, DPPP mengesyorkan kepada BERSIH 2.0 supaya memberi tarikh akhir kepada kerajaan untuk memenuhi semua syarat dan tuntutan yang dikemukakan oleh PSC termasuk BERSIH.

"Ini penting untuk mengukur adakah kerajaan berjaya atau gagal memenuhi janji mereka sebelum ini dan melihat sejauhmana seriusnya kerajaan bagi memperbaharui sistem pilihanraya di negara ini," tambahnya.

Sementara itu, Riduan berkata, DPPM mengalu-alukan pelantikan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, sebagai pengerusi bersama BERSIH 2.0.

"Bagi DPPP, pelantikan Pak Samad tepat pada masanya memandangkan beliau merupakan seorang tokoh yang selalu ke depan bagi memperjuangkan isu-isu rakyat," katanya.

Malah, tambahnya, Pak Samad adalah antara tokoh negarawan yang berani dan bersuara lantang dalam memperjuangkan keadilan tanpa mempeduli tekanan dan ugutan yang dihadapi olehnya.

"Lebih membanggakan, Pak Samad tanpa gentar memimpin barisan hadapan dalam himpunan BERSIH 2.0 pada bulan Julai 2011 yang lalu," tambah Riduan.

Katanya, pelantikan Pak Samad itu juga membuktikan perjuangan membersihkan pilihanraya di negara ini bukan hanya didokong oleh Pakatan Rakyat, malah turut dipelopori gabungan NGO serta tokoh-tokoh masyarakat.

"PPM juga mengalu-alukan lebih ramai penyertaan tokoh dan pemimpin masyarakat bersama dengan perjuangan rakyat," tegasnya. Mkini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...