17 JANUARI – Baru-baru ini bekas pengarah eksekutif Institut Ekonomi Malaysia (MIER) Mohamad Ariff Abdul Kareem telah membuat satu kenyataan yang Malaysia bakal bankrup jika pola kadar penambahan hasil kerajaan pusat yang lembab dan perbelanjaan yang tidak terkawal berpanjangan.
Dalam wawancara dengan sebuah laman media alternatif, beliau memberi amaran yang hutang negara akan mencecah 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019.
Namun ini bukan kali pertama seorang pakar ekonomi kerajaan memberi amaran sebegini. Pada 2010 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala telah memberi amaran yang serupa, tetapi dibidas teruk oleh para menteri lain dan kumpulan ultra kaum Perkasa. Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa menafikan kenyataan menterinya sendiri.
Yang menghairankan kali ini, tiada suara songsang para menteri dan pemimpin-pemimpin BN untuk menyangsikan kenyataan ini. Apakah keadaan membisu ini tandanya bangkai gajah tidak dapat ditutup nyiru lagi?
Iktibar dari tragedi Greece
Kancah berita dunia digegarkan dengan apa yang berlaku kepada Greece pada 2010 yang mana kerajaannya mengakui ia sudah hampir muflis. Kesatuan Eropah (EU) pimpinan Jerman dan Perancis kini menjadi tuan de facto negara Yunani itu. Ini adalah kerana dasar perbelanjaan dan kewangan kerajaan Greece perlu mendapat persetujuan EU terlebih dahulu.
Lantaran itu Greece dipaksa mengambil langkah penjimatan yang keras seperti mengurangkan penjawatan awam dan perbelanjaan sosial serta melanjutkan usia persaraan kaki tangan awam. Akibatnya ekonominya jatuh merudum; kadar pengangguran melonjak dan tunjuk perasaan serta rusuhan dalam negara berlaku seharian dengan kemelut politik tidak berkesudahan.
Di Malaysia, banyak saranan telah mendesak kerajaan BN agar mengambil iktibar tentang apa yang berlaku di Greece supaya tidak akan berulang di negara ini.
Pada zahirnya ada persamaan keadaan Malaysia dengan Greece; kadar perbelanjaan melebihi pendapatan yang berlarutan sehingga hutang awam mengembang terlalu besar. Ini disebabkan ketirisan akibat gejala rasuah dan kronisme yang berleluasa serta kadar penjawatan yang tinggi menyebabkan perbelanjaan mengurus tidak terkawal.
Namun, tidak semuanya sama. Hutang awam Malaysia, walau pun tinggi pada tahap 53 peratus KDNK, masih kecil berbanding Greece yang hutangnya mencecah 140 peratus KDNK pada tahun lepas. Sebahagian besar hutang negara Malaysia berpemiutang dalam negeri; Greece pula berkelilit hutang luar negara sebanyak 70 peratus daripada jumlah hutangnya.
Masihkah Malaysia dapat diselamatkan?
Simpanan yang semakin terhakis
Malaysia mempunyai khazanah petroleum dan gas yang melimpah, sehingga hasil dari sektor itu merangkumi sekitar 40 peratus daripada pendapatan kerajaan. Tetapi seperti perigi air di gurun, ia akan habis digali suatu hari kelak.
Mengikut laporan Petronas pada tahun 2010 Malaysia mempunyai rizab minyak petroleum sebanyak 5.80 billion tong. Mengikut penggunaan petroleum negara yang berjumlah lebih daripada 550,000 tong minyak sehari, Malaysia mungkin akan kehabisan petroleum dalam 10 tahun lagi.
Dana dalam dua simpanan awam terbesar di Malaysia, iaitu KWSP dan KWAP berjumlah lebih RM510 bilion. Dilaporkan hampir 60 peratus daripada pelaburan KWSP, yang berjumlah RM440 bilion dan 25 peratus daripada dana KWAP (RM70 bilion) pada akhir tahun 2010, kini terkumpul pada pinjaman bon kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).
Pelaburan ini dikatakan “selamat” kerana dijamin oleh kerajaan pusat. Faedah yang dikena keatas pinjaman ini pada sekitar 4-5 peratus; dalam ertikata lain ini adalah dana murah yang diguna pakai kerajaan untuk menampung perbelanjaannya.
Infrastruktur semakin usang
Seperti yang dikatakan oleh Mohd Ariff dari MIER, hasil dan pendapatan kerajaan pusat telah bertambah pada kadar yang terlalu perlahan. Hakikatnya semenjak 1998 hingga 2011, Malaysia mencatat perbelanjaan defisit sebanyak 14 tahun berturut.
Perolehan kerajaan hanya mampu menampung perbelanjaan mengurus sahaja. Malah sebanyak 7 tahun daripada 14 tahun itu baki perolehan kerajaan adalah di bawah 10 peratus daripada jumlah hasil pendapatan.
Maknanya kerajaan pusat hanya mampu membiayai perbelanjaan pembangunan melalui pinjaman sahaja. Perbelanjaan pembangunan melitupi perkara asas seperti pembinaan infrakstrutur (jambatan, hospital, lebuhraya) dan alat keselamatan (kereta ronda polis, sistem IT).
Sejak 2001 hingga 2011 perbelanjaan pembangunan hanya meningkat sebanyak 50 peratus sahaja; dalam masa yang sama perbelanjaan mengurus telah bertambah dua setengah kali ganda.
Ini bererti pembangunan infrakstur dan perlengkapan sosial awam semakin usang dan tidak mencukupi untuk memperlengkapkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang moden, selamat dan menarik untuk para pelabur asing.
Subsidi untuk orang kaya
Di bawah kerajaan BN, subsidi membentuk sebahagian besar daripada perbelanjaan mengurus; pada tahun 2008 dan 2009 sahaja, nisbah pemberian subsidi kepada perolehan kerajaan adalah masing-masing 22 dan 46 peratus. Mampukah Malaysia meneruskan tanggungan subsidi yang sebegini besar?
Setiap kali Pakatan Rakyat menyeru supaya subsidi kepada syarikat besar dan korporat kroni dikurangkan , kerajaan BN berselindung di sebalik alasan untuk membantu mereka yang miskin dan rendah pendapatan.
Namun angka sebenar pemberian subsidi membuktikan alasan BN tidak boleh dipakai lagi. Dalam tahun 2009 Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) yang ditugaskan untuk melaksanakan program transformasi kerajaan melaporkan hanya RM1.9 bilion daripada jumlah subsidi RM74 bilion yang ditanggung oleh kerajaan diedar terus kepada para nelayan dan petani dan mereka yang miskin. Sebaliknya, kira-kira RM18 billion masuk ke dalam poket syarikat swasta seperti penjana elektrik bebas (IPP).
Hutang negara bagaikan sebutir bom jangka yang bakal meletup jika tidak dibendung. Setiap tahun kerajaan membelanjakan lebih daripada 11 peratus daripada perbelanjaan mengurus untuk membayar faedah pinjamannya.
Dan angka yang semakin meningkat ini bagaikan batu karang di tepi laut yang akan menenggelamkan kapal yang belayar menuju ke arahnya; bila hasil perolehan kerajaan jatuh kelak program-program perbelanjaan sosial yang lain akan di tunda untuk membayar pemiutang supaya “rating” pinjaman kerajaan dapat dikekalkan.
Jawapan kepada masalah-masalah yang dihurai diatas sudah diketahui umum. Amalan rasuah dan kronisme kerajaan pemerintahan BN ini kini dianggarkan menelan belanja sebanyak 1 peratus daripada KDNK setiap tahun, iaitu sekitar RM 6.2 billion untuk tahun 2012.
Apa tidak, walau pun ditegur dan dikritik secara terus bertahun-tahun untuk menyelesaikan perbelanjaan yang tidak masuk akal, kerajaan BN tetap berdegil meneruskan amalan rasuah dan kronisme ini.
Kutipan tol: kapitalis mewah, rakyat menderita
Pemilik konsesi tol lebuh raya diberikan hak untuk menaikkan kadar tol untuk tempoh berulang; hanya apabila berlaku bantahan awam yang kuat, baru kerajaan “berbesar hati” membayar pampasan kepada pemegang konsesi untuk menundakan peningkatan tol ini.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua telah menganggarkan bahawa jika syarat penjanjian yang sedia ada di antara kerajaan dan pemilik konsesi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dikekalkan, dari tahun 2008 hingga 2038 kerajaan bakal membayar RM63.8 bilion pampasan untuk PLUS mengekalkan kadar tol yang sedia ada. Wang rakyat untuk kemewahan syarikat tol.
DAP dan Pakatan Rakyat telah sekian lama menyeru kerajaan supaya mengambil alih hak milik PLUS dan lebuh raya yang lain supaya rakyat Malaysia tidak lagi dibelenggu kos penggunaan lebuh raya yang membebankan ini.
Malah, Pua telah mengatakan bahawa jika kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk membeli kesemua saham PLUS dan mengekalkan kadar tol yang ada, menjelang 2016 pulangan yang diperolehi sudah cukup untuk kerajaan membuka PLUS bagi kegunaan awam tanpa bayaran tol.
Setelah lebih 50 tahun pemerintahan UMNO-BN yang bergelumang dengan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa ini, apakah kerajaan ini mampu berubah? Segala perancangan dan transformasi kerajaan sudah dilancarkan tetapi amalan rasuah tetap berleluasa.
Jawapannya jelas terpahat pada dinding untuk tatapan semua, “Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia, Selamatkan Malaysia”. Keputusannya di tangan anda. – Roketkini.com