
Saya cintakan Malaysia. Kita semua cintakan tanah air kesayangan ini. Kita menghormati undang-undang dan sistem kehakiman yang membawa kebaikan dan keadilan kepada semua. Menghadirkan diri di mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari 2012 tidak bermaksud kita tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman.
Sebaliknya, atas semangat cintakan perlembagaan, undang-undang dan sistem kehakiman negara, kita hadirkan diri untuk menyaksikan dengan kaca mata sendiri sejauh mana prinsip keadilan diangkat tanpa mengira perbezaan fahaman politik dalam kes fitnah II dan bukannya diperkosakan sistem kehakiman negara.

Tanggal 9 Januari 2012 bakal dicatatkan sebagai lembaran sejarah hitam Malaysia berkenaan dengan sistem kehakiman. Sama ada dipenjarakan atau tidak, penganiayaan yang dilakukan melalui manipulasi proses kehakiman dan media terus-menerus melakar persepsi bahawa insan bernama Anwar Ibrahim melakukan kesalahan tidak bermoral dan tidak sesuai menjadi Perdana Menteri.
Penganiyaan melalui proses kehakiman bukanlah sesuatu yang mudah difahami. Sebab itu, orang ramai bergantung kepada laporan media, khususnya media cetak dan penyiaran untuk mengetahui perkembangan dari masa ke masa.

Di mana berlaku ketidakadilan yang melampau sehingga menggeramkan rakyat terbanyak, di sana akan bangkit gelombang rakyat menuntut keadilan. Begitulah tatapan sejarah khalayak ramai yang juga menjadi topik diskusi di kedai kopi dan di sana sini.

Tetapi sejarah UMNO berbeza dengan sejarah rakyat. Dalam tatapan sejarah UMNO, rakyat tidak mampu bangkit asalkan manipulasi media cetak dan penyiaran dilakukan dengan bijak. Barang siapa yang pernah bekerja dalam kedua-dua media cetak dan media atas talian, fahamlah juga dia bahawa kewujudan internet dan kebangkitan media baharu khususnya media sosial tidak bermaksud media cetak dan penyiaran menjadi bebas secara semula jadi. Hakikatnya, beberapa konglomerat media UMNO-BN masih mengawal akhbar dan stesyen televisyen dan radio utama di Malaysia di samping media kerajaan yang juga didalangi agenda UMNO.
Pada ketika pemimpin UMNO memikirkan masa depan dan kepentingan diri, sama ada diri dapat bertanding pada pilihan raya akan datang, sama ada Najib akan merombak kabinet dan menukarkan pemimpi bertaraf menteri, dan sama ada diri dapat dinaiktaraf jadi menteri, biar kita memahami selok-belok media cetak dan penyiaran dalam konteks di mana media dilihat sebagai institusi kuasa yang juga merupakan sebahagian daripada institusi keadilan. Dengan kata lain, selain dikawal dengan undang-undang ketat, media cetak dan penyiaran juga dapat dimanipulasi saban hari untuk mencapai agenda UMNO.
Pemimpin UMNO lain mungkin tidak faham sejarah dan undang-undang, saya pasti Saifuddin Abdullah yang pernah berbicara mengikut gerak hati masalah-masalah negara faham, apa agenda sebuah parti politik yang kehilangan idealisme dan sedang berdepan dengan krisis kehilangan tampuk pemerintahan, dan sejauh mana sistem kehakiman dan institusi keadilan dimanipulasi untuk mencapai agendanya. Sebab itu, Saya yakin Saifuddin Abdullah yang menyokong hak berhimpun demonstran tidak akan membiarkan perhimpunan 901 secara aman dikucar-kacirkan oleh sesetengah pihak demi mencapai agenda tertentu.

Semasa Internet mula bertapak di bumi Malaysia, masyarakat secara amnya digegarkan dengan pelbagai fitnah yang dilontarkan oleh seorang Perdana Menteri terhadap timbalannya. Kini sejarah berulang tetapi mungkin berakhir dengan perbezaan. Kalau dahulu rakyat berasa lega selepas Mahathir diundurkan tetapi UMNO kekal, kini rakyat hanya akan merasa lega kalau UMNO diundurkan dalam pilihan raya akan datang.
9 Januari 2012 bukan satu tarikh menyaksikan kelahiran seorang individu, kemudian menujum bila orang tersebut dipenjarakan dan sama ada orang tersebut mati dalam penjara atau di luar penjara, tetapi tarikh kita menterjemahkan kecintaan kita terhadap prinsip keadilan dalam kerangka undang-undang tertinggi dan sistem kehakiman.
Seperkara penting yang harus dikaitkan sebagai penutup. Tanpa kebebasan media cetak dan penyiaran, jangan kita mempercayai pembaharuan sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sahaja dapat menjamin proses pilihan raya yang adil. Sama ada proses kehakiman atau pilihan raya, institusi media merupakan asas kepada pembaharuan yang bermakna. Sebab itu, kalau media tidak memainkan peranan sebagai sebahagian daripada institusi keadilan negara, maka media akan dimanipulasi sebagai sebahagian daripada agenda UMNO. - Ooi Heng
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.