Saturday, September 10, 2011

Panas!! Sir Andrew Clarke telah melafazkan niat "sahaja aku menaungi dan melindungi Tanah Melayu”.

Ketika menandatangani perjanjian Pangkor,Sir Andrew Clarke
telah melafazkan niat

"sahaja aku menaungi dan melindungi Tanah Melayu”.
Oleh sebab itulah British dikehendaki melindungi dan menaungi Tanah Melayu.
Tapi orang-orang yang buta sejarah
telah menuduh British datang
untuk menjajah dan menguasai
ekonomi Tanah Melayu. 



Saya semakin gila dengan ulasan bertalu-talu dari seseorang yang dianggap berkeahlian dalam bidang sejarah, iaitu Profesor Dr Zainal Kling. Katanya , Tanah Melayu tidak pernah dijajah, tapi hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Lalu, di sini saya (lepas ini akan digantikan dengan perkataan aku),mewakili rakyat Malaysia
 ingin memohon maaf kepada pihak British kerana telah menuduh British sebagai penjajah yang datang untuk mengaut kekayaan Tanah Melayu, terutamanya getah dan bijih timah.

Aku juga menyeru kepada semua warga Malaysia agar bertaubat dan bertaqwa di atas dosa-dosa silam kerana menuduh British.

Warga Malaysia kena faham, sesungguhnya kedatangan British telah membawa rahmat ke atas segenap penghuni Tanah Melayu. Segenap ruang dan ceruk di Tanah Melayu telah mendapat berkat akibat kedatangan British. Bukan hanya manusia, malah monyet, musang,kera dan babi hutan, turut mendapat rahmat daripada kedatangan British.

Kepada pihak British, maafkan aku kerana terlupa isi-isi penting Perjanjian Pangkor yang telah engkau tandatangani pada tahun 1874.
Mujurlah Profesor Datuk Dr Zainal Kling memberitahuku dan seluruh warga Malaysia, sesungguhnya tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa Tanah Melayu akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Aku yakin dengan kata-kata Profesor Datuk Dr Zainal Kling itu, sebab sepanjang aku mempelajari sejarah, tidak pernah aku mendengar Sir Andrew Clarke yang menandatangani Perjanjian itu melafazkan niat “ Sahaja Aku Menjajah Tanah Melayu.” Dikatakan Sir Andrew Clarke ingin menjajah Tanah Melayu tapi beliau terlupa untuk berniat, jadi penjajahan dianggap tidak sah lalu bertukar menjadi naungan dan perlindungan.

Kepada pihak British,dengan ini aku menyeru diriku sendiri dan seluruh warga Malaysia agar tidak lagi menggelar BAPA KEMERDEKAAN kepada Tengku Abdul Rahman, tapi aku ingin memanggilnya sebagai
 BAPA NAUNGAN. Beliau tidak layak digelar Bapa Kemerdekaan sebab Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah, tapi beliau sangat layak dilabelkan diistiharkan sebagai Bapa Naungan sebab Tanah Melayu hanya dinaungi dan dilindungi.

Selepas ini Tengku Abdul Rahman
tidak layak lagi digelar Bapa Kemerdekaan,
tapi layak digelar sebagai Bapa Naungan.


Kepada Pihak British, aku juga ingin memohon maaf di atas segala peristiwa berdarah yang dicetuskan oleh para ‘penderhaka dan pemberontak’ seperti Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong dan ‘penderhaka-penderhaka’ yang lain. Mungkin mereka tidak tahu niat sucimu yang ingin melindungi Tanah Melayu.


Jika mereka tahu niat kedatanganmu ke Tanah Melayu hanyalah untuk melindungi dan menaungi Tanah Melayu tentu sahaja mereka tidak ‘menderhaka’. Mungkin ‘penderhaka-penderhaka’ itu terlupa tentang satu kenyataan. Iaitu, jika pihak British bukan penjajah, maka pemerintah dan penguasa Tanah Melayu secara total adalah Raja-Raja Melayu.


Wahai Tok Janggut, wahai Dato Bahaman, wahai Haji Abdul Rahman Limbong. Kamu semua telah tersalah menghala senjata. British datang untuk melindungi dan menaungi kita dan bukannya menjajah serta merampas hasil bumi kita. Negari-negeri kalian ditadbir oleh Sultan kalian masing-masing. British tidak kacau dan British juga tidak ganggu urusan pentadbiran negeri kalian. British cuma melindungi dengan penuh kasih sayang.


Jadi kalian telah menderhaka kepada Raja-Raja. Pantang anak Melayu derhaka kepada Raja. Jangan jadi Hang Jebat wahai Tok Janggut. Jebat itu penderhaka. Jangan jadi macam Nizar wahai Dato Bahaman. Nizar itu penderhaka. Lupakah kamu, betapa Tun Perak sanggup kematian anak secara percuma kerana tidak ingin menderhaka kepada Sultan Melaka. Lupakah kamu, betapa Hang Tuah sanggup mengadaikan cintanya terhadap Tun Teja kerana Sultan Melaka.


Sesungguhnya Kamu telah menentang Raja-Raja Melayu, sebab Raja-Raja Melayu adalah pemerintah kamu ketika itu. British bukanlah penjajah dan bukan juga penguasamu ketika itu. Brtish datang dengan niat yang suci murni untuk melindungimu dan negerimu. Jika sekiranya kalian tidak menentang British, tentu sahaja Tanah Melayu akan aman dan tenteram dari sebarang ancaman. Tapi kalian tersilap langkah, kalian telah mengancam keselamatan dalam negeri dengan memerangi manusia berhati mulia,iaitu pihak British.


Sekali lagi, aku mewakili seluruh rakyat Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak, ingin memohon jutaan maaf kepada pihak British. Dan dengan ini, aku berjanji untuk tidak menyambut hari kemerdekaan pada tahun-tahun akan datang. Cuma, aku ingin menyambut Hari Naungan.


Dan, mulai detik ini aku sudah lupa apakah persitwa yang berlaku pada 31.ogos 1957. Aku juga berharap agar dapat melupakan tarikh tersebut secepat mungkin, kerana ia amat tidak penting untuk dikenang. Kerana ia satu tarikh yang penuh dengan pembohongan. Macam mana Tanah Melayu boleh merdeka jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Shameel Iskandar

1. SELAMAT TINGGAL SUKAN KOMANWEL
2. SELAMAT TINGGAL 31 OGOS (HARI MERDEKA)
3. SELAMAT TINGGAL BAPA KEMERDEKAAN MALAYSIA


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...