KUALA LUMPUR, 2 FEB: Seperti diramal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pada sidang Parlimen 2010, tiada seorang Menteri Kabinet pun yang berani mengaku diri sebagai pemegang “DNA” 1Malaysia.
Pemimpin veteran DAP itu berkata, ia adalah penanda kegagalan pelbagai dasar-dasar “transformasi” Perdana Menteri Datuk Seri Najib seperti Model Ekonomi Baru (NEM) yang telah pun terkubur selepas tiga bulan.
“Pada Mac 2010 di Parlimen, saya telah menyatakan bahawa Kabinet Najib penuh dengan Menteri-menteri yang skeptikal terhadap konsep 1Malaysia yang mana mereka anggap hanya sebagai satu lagi sandiwara politik.
“Saya sendiri bertanya, siapa Menteri-menteri Kabinet yang mempunyai DNA 1Malaysia sebab saya tidak nampak pun sesiapa yang mempunyai DNA 1Malaysia dalam barisan Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, jelas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, tiada siapa di kalangan Menteri Kabinet berani mengikut jejak langkah beliau (Kit Siang) dengan menyatakan secara terbuka beliau adalah rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala semalam yang dipetik sebagai berkata:
“Saya berasa marah dengan orang-orang yang terperangkap dalam dilema rakyat Malaysia didahulukan. Kenapa perlu saya menjadi rakyat Malaysia dahulu, dan Melayu yang kedua?
“Nama saya Idris, itulah nama saya, identiti saya. Kelabit adalah suku saya dilahirkan. Saya tergolong dalam kumpulan yang dipanggil Orang Ulu. Saya anak Sarawak, saya rakyat Malaysia, saya orang Asia.”
Kit Siang berkata, Idris sekarang dan dahulu berbeza kerana Idris dua tahun lalu mungkin akan mengatakan dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu, Kelabit kemudian.
Bagaimana pun, katanya, Idris sekarang sudah melalut dengan kenyataan panjang berjela dan tidak masuk akal seperti itu.
“Inilah sebab kenapa di bawah pentadbiran Najib, puak ekstremis semakin bertambah seperti selalu ditunjukkan Utusan Malaysia, lidah rasmi UMNO, yang dibenarkan menjeritkan pembohongan, penipuan dan bertindak sebagai pembakar bagi menyemarakkan kebencian kaum dan menghasut ketegangan agama,” katanya. – Roketkini.com