GEORGE TOWN, 7 FEB: Penganut Hindu dan kaum India tidak tidak bersendirian kerana semua agama dan kaum di Pulau Pinang akan sentiasa bergerak seiringan bagi menjadikan negeri ini bersih, hijau dan selamat.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, seperti rakyat negeri ini yang lain, kaum India telah memilih kerajaan yang berjiwa rakyat pada pilihan raya umum 2008 dan membantu mencipta sejarah di mana buat kali pertama Timbalan Ketua Menteri dilantik dari masyarakat India.
Katanya, sekolah-sekolah Tamil juga telah berjaya dibaik pulih selain peruntukan tetap disediakan sebanyak RM1.75 juta setahun.
“Kaum India di sini telah menggunakan hak mereka dalam pilihan raya umum 2008 dengan memilih sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mendengar kata rakyat bukan berdusta kepada rakyat, yang melakukan kerja-kerja rakyat bukan kerja untuk syarikat swasta dan kroni, dan memberi harapan kepada rakyat dan bukannya menyebarkan kesuraman dan azab di kalangan generasi muda,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Thaipusam semalam.
Tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Pulau Pinang berbangga untuk mengumumkan satu penambahan baru di Kuil Waterfall tahun ini di mana patung Dewa Shiva yang tertinggi di Malaysia dibenarkan dibina situ khas buat sambutan Thaipusam.
Selain itu, katanya, kuil Nattukkottai Chettiar Arulmigu Sri Thandayuthapani juga telah siap yang mana kos pengubahsuaiannya memakan hampir RM1 juta.
“Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, tanda-tanda jalan berbahasa Tamil juga akan menghiasi George Town.
“Atas sebab ini, bukan sekadar rasa kepunyaan dan kekitaan, malah rasa pemilikan buat rakyat Pulau Pinang, bahawa setiap daripada kita mempunyai pegangan dan berkongsi kejayaan di Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, di IPOH, Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar berkata, pelantikan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel sebagai Pengerusi MIC Perak membuktikan bahawa parti itu terdesak untuk menarik kaum India ke pangkuan Barisan Nasional.
Katanya, MIC masih terperangkap dengan jerat politik perkauman ciptaan BN kerana ia tidak akan membawa apa-apa hasil buat kaum India di Perak.
“Tindakan (pelantikan) ini dibuat serta-merta oleh pucuk pimpinan MIC kerana MIC Perak gagal membuktikan apa-apa kecemerlangan dalam tempoh tiga tahun yang lepas.
“Jika ditelan mati emak, diluah mati bapa. Pelantikan Palanivel adalah satu tindakan lambat. Nasi sudah menjadi bubur,” katanya.
Jelas Sivakumar yang juga Adun Tronoh, selepas tiga tahun BN merampas kuasa di Perak melalui ‘pintu belakang’ barulah mereka sedar MIC tidak mempunyai pemimpin berkaliber menyelesaikan masalah kaum India.
Pada pilihan raya umum 2008, MIC tewas kesemua empat kerusi DUN yang ditandinginya. MIC hanya dapat mempertahankan Parlimen Tapah.
“Kekalahan (bekas) Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput membuktikan bahawa MIC telah ditolak sama sekali oleh rakyat Perak.
“Kekalahan MIC di negeri Perak adalah akibat keangkuhan pemimpin-pemimpin yang sentiasa mempunyai rekod kemenangan 100 peratus dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum itu,” katanya. – Roketkini.com