Tuesday, February 7, 2012

KITA tak jadi Bubar??

Nasib Kita Ditentu Akhir Bulan IniNasib Kita Ditentu Akhir Bulan Ini
PETALING JAYA- Nasib dan kedudukan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) sama ada akan dibubarkan atau tidak bakal ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JEP) parti berkenaan akhir bulan ini.

Bagaimanapun Ketua Penerangannya, Mohamed Mazlan Abdul Manaf berkata, hasrat untuk membubarkan parti yang berusia lebih setahun itu tetap menjadi salah satu pilihan yang bakal dibincangkan pada mesyuarat khas itu nanti.

"Kedudukan muktamad mengenai parti Kita akan ditentukan pada mesyuarat khas itu.

"Malah kami sudah jangkakan bahawa persoalan sama ada nak bubar ataupun tidak parti ini bakal menjadi topik panas dalam mesyuarat berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Menurut Mohamed Mazlan, mesyuarat yang akan dihadiri oleh 30 ahli parti termasuk semua ketua-ketua negeri berkemungkinan diadakan di Kota Bahru, Kelantan.

"Buat masa ini kami belum ada tarikh dan tempat yang tetap mengenai mesyuarat itu. Tapi mengikut perancangan awal, mesyuarat bersejarah itu akan diadakan di Kota Bahru," katanya.

Tambah beliau, Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim sudah mengetahui mengenai mesyuarat berkenaan.

Sementara itu menerusi kenyataan media yang dimuatkan dalam lawan web rasmi Kita, Mohamed Mazlan menjelaskan bahawa pengumuman Zaid sebelum ini untuk membubarkan Kita merupakan pandangan peribadi beliau yang akan turut dipertimbangkan.

"Sekiranya parti boleh dibebaskan daripada serangan anasir-anasir yang tidak diingini dan oleh mereka yang menyusup masuk tanpa perlu membubarkan parti, maka itu adalah satu pilihan yang akan diberi keutamaan.

"Akan tetapi jika kepimpinan parti berpendapat bahawa jalan terbaik untuk menghalang parti daripada dijadikan alat atau tunggangan bagi menyalahgunakan proses pilihan raya adalah dengan menutup parti, maka keputusan itulah yang bakal diambil kelak," katanya.

Khamis lalu Zaid mengumumkan bahawa parti Kita yang ditubuhkan pada pertengahan Disember 2010 akan dibubarkan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut Zaid pembubaran itu wajar bagi menghapuskan keraguan bahawa Kita tidak memihak kepada pembangkang berikutan terdapat beberapa ahli parti itu terutama di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka telah mengkritik pembangkang secara berterusan. ( Baca SINI )

Bagaimanapun hasrat Zaid itu mendapat reaksi negatif ahli partinya sendiri apabila beliau sebaliknya didesak meletak jawatan dan keluar daripada parti berkenaan kerana mengambil keputusan tanpa mendapat persetujuan kepimpinan peringkat negeri.

Zaid yang sebelum ini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), yang kemudian ditukar nama kepada Kita pada Muktamar Agung Tahunan AKIM 2010. -mStar

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...