Tuesday, February 14, 2012

Gara2 Twitter palsu, Polis rampas komputer Ketua AMK Rembau

REMBAU 14 Feb: Pihak polis semalam merampas komputer kepunyaan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Rembau, Sani Md Shah, dipercayai ada kaitan dengan tuduhan menggunakan akaun Twitter palsu.

Dalam satu kenyataan kepada Keadilan Daily hari ini, Sani berkata, pihak polis merampas komputer berkenaan, di rumahnya di Senawang, selepas kenyataan beliau diambil.

Menurutnya, kes itu bersangkutan dengan kes akaun twitter palsu yang pada mulanya menggunakan twitt handle @AMK_Rembau, dengan tujuan memburukkan Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard.

“Akaun palsu yang menggunakan identiti AMK Rembau ini digunakan dengan menggunakan ayat-ayat lucah, kasar dan ada kalanya melampau seperti menghina raja. Saya yakin ini semua untuk memburukkan Chegu Bard,” kata Sani.

Pada 5 Julai, katanya, beliau selaku Ketua AMK Rembau telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kewujudan twitter berkenaan.

Namun pada 27 Disember lepas, seorang pegawai polis bernama ASP Wiswar telah merampas telefon Blackberry milik Chegu Bard, kononnya kerana ada laporan oleh Umno ke atas twitter itu yang menghina raja.

“Serentak dengan itu saya juga ada dihubungi oleh ASP Wismar. Kemudian saya sendiri dua kali menghubungi pegawai polis tersebut untuk bertanya apa yang saya perlu bantu atau adakah saya perlu hadir ke balai. Malangnya dia cuma kata tak apa nanti akan hubungi semula.

“Sehingalah pagi semalam (pihak polis) datang dan terus mendesak.

“Saya terangkan mengenai twitter tersebut dan sedia tunjukkan beberapa bukti yang kaitkan beberapa suspek, malangnya ASP tersebut seperti tidak tahu langsung bagaimana twitter beroperasi dan hanya ikut arahan iaitu ‘bosnya’ suruh rampas komputer dan bawa balik,” ujar beliau.

“Polis dalam hal ini menunjukkan sikap berat sebelah, rasanya terlalu banyak laporan juga dibuat ke atas blogger – blogger atau ‘cybertroopers’ Umno namun semuanya kelihatan kebal dari tindakan,” ujarnya.

http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/gara2-twitter-palsu-polis-rampas.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...