Thursday, February 2, 2012

Bukan kerana nama…

2 FEBRUARI – “Ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan adalah punca utama gejala murtad dilaporkan semakin parah di negara ini” – kenyataan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Mohd Azmi Abdul Hamid baru-baru ini.

Begitu buruk sekali bunyia “sekularisme” dengan pernyataan yang sedemikian. Tetapi adakah itu yang sebenarnya yang tersurat dan tersirat?

Apa yang ingin cuba saya huraikan berkenaan dengan kenyataan di atas hanyalah tentang bagaimana mengurus dan mencari jalan atau mekanisme penyelesaian sesuatu konflik, bukan mempersoalkan kepentingannya.

Isu ini bukanlah baru. Sejak zaman sebelum merdeka lagi, keharmonian masyarakat kita pernah berkocak dalam banyak peristiwa, khususnya yang dicetuskan oleh golongan politik perkauman (kuasa).

Sifat tidak tahu dan ingin tahu

Pada dasarnya, saya bersetuju bahawa isu-isu penting yang melibatkan kepentingan semua pihak harus sentiasa dipelihara kerukunannya, demi kebaikan yang berterusan.

Jika kita lihat dalam aspek ekonomi, sungguh pun sudah ada undang-undang dan hukuman, dasar/dan cara-caranya, memang akan sentiasa ada manusia yang ingin mengambil kesempatan baik dengan cara menipu, rasuah mahu pun salah guna kuasa.

Begitu juga dengan aspek keagamaan, walau pun sudah ada undang-undang syariah (agama), undang-undang sivil dan adat dan budaya mana-mana bangsa, kita semua sedia maklum, hingga kiamat pun, memang tetap akan ada manusia yang sengaja ingkar dan munafik.

Inilah fitrah kita, atas sebab itu jugalah, isu murtad (Muslim meninggalkan agama Islam) harus ditangani dengan bijaksana dan halus seperti mana kita mengurus ekonomi dan hal-hal kehidupan yang lain. Moga-moga kita semua beroleh kesejahteraan dan kemakmuran.

Konflik dan kepentingan

Dalam konflik seperti ini, kita selalu diingatkan oleh mereka yang berkuasa bahawa ia hal yang sensitif, termasuk pelbagai lagi alasan untuk dijadikan halangan hingga ia tidak boleh dibicarakan kepada umum.

Maka, akhir kepada semua halangan ini akan menyebabkan apa jua buah fikiran yang belum pernah dinilai baik atau buruknya, telah dibisukan untuk difikir dan dipertimbangkan oleh semua pihak.

Ini jelas bertentangan dengan kaedah penyelesaian konflik. Lebih malang, hal seperti ini akan terus menjadi momokkan oleh segelintir mereka yang berkuasa ke atas masyarakat. Maka semangat persaudaraan akan hilang. Kita akan terus dihantui dengan pelbagai ketakutan yang ilusi.

Memahami konflik

Tambah kenyataan Presiden TERAS itu lagi, “Selain itu…TERAS juga sangat prihatin terhadap pelbagai kes taraf keislaman anak-anak bila salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam”.

Kenyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa ianya bukan hanya isu berkaitan dengan kepentingan umat Islam sahaja, sebaliknya ia turut melibatkan penganut agama lain.

Tidak dapat tidak, konflik ini akan melibatkan banyak aspek seperti undang-undang, harta dan waris. Malah ia pastinya, ia akan turut memberi kesan psikologi kepada pihak yang terlibat.

Atas sebab itu, dalam isu seperti ini, kita tidak mahu ada pihak yang dizalimi semata-mata kerana mereka tidak memahami hakikat sejarah budaya dan tamadun bangsa dan agama.

Untuk memastikan matlamat ini tercapai, wajarlah kembali kepada Perlembagaan kerana inilah undang-undang tubuh yang dibina dan dipersetujui oleh semua pihak sejak zaman berzaman.

Saranan paling penting dalam Perlembagaan adalah dengan mengambil langkah pelaksanaan demokrasi secara tuntas, iaitu menerusi rundingan, perbincangan, penerangan dan perdebatan. Memang ia akan mengambil masa yang panjang untuk menggarap kefahaman semua pihak. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar demi mengharapkan natijah yang baik. Tidak ada jalan singkat untuk faham sesuatu kecuali dengan melaksanakannya.

Mekanisme ini perlulah dijalankan secara terbuka dan telus dengan menghormati hak-hak setiap individu yang termaktub didalam perlembagaan. Sebaliknya, bukan dengan paksaan menerusi undang-undang.

Mungkin inilah jalannya untuk kita memelihara persefahaman antara mana-mana agama. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pernah mengungkapkan, Islam ini agama hujah. Maka, berhujahlah dengan waras dan wajar selaras dengan hak yang telah dijamin didalam perlembagaan.

Konflik dan kematangan masyarakat

Konsep demokrasi ini bermatlamatkan yang majoriti perlu memelihara kelompok minoriti, yang kaya perlu membantu yang miskin.

Adakah selama ini kita sedar bahawa si miskin memahami masalah hutang si kaya? Adakah golongan majoriti memahami keperluan budaya kumpulan minoriti? Jika tidak dengan dialog, perbincangan, penjelasan secara terbuka dan telus, tidak mungkin kefahaman dan persefahaman seperti ini akan wujud.

Mematangkan masyarakat diakui bukanlah satu proses yang mudah dan sekejap. Namun, usaha ini perlu bermula segera. Natijahnya cukup mudah iaitu kita akan menjadi lebih waras dalam berhadapan dengan konflik seperti ini.

Dengan masyarakat yang matang, celik budaya, adat resam, undang-undang dan agama, anasir lain amat sukar untuk memecah-belahkan kita. Sebaliknya, kita saling berkeperluan antara satu sama lain.

Bukan nama dasar yang penting

Soal sama ada ia dasar pemerintahan apa, bukanlah soal penting. Kerana, apa jua ‘nama’ dasar atau kerajaan itu, pada akhirnya hanyalah sebuah nama. Ia tidak menjamin apa-apa keadilan buat kita.

Katakanlah jika ia dasar dengan nama ‘sekular’, mungkin namanya jelik bagi segolongan masyarakat (walau pun masih ramai tidak faham apa itu sekular dan bezanya dengan sekularsime), tetapi belum tentu ia menjadi penyebab utama konflik ini wujud.

Begitu juga dengan nama ‘kerajaan Islam’, nama Islam yang baik ini selalu juga digunakan oleh pihak-pihak tertentu hingga keadilan umat tergadai. Bukankah suatu ketika dahulu Dr Mahathir Mohamad pernah mengisytiharkan Malaysia pimpinan UMNO-Barisan Nasional itu sebagai ‘negara Islam’?

Sebagai perlambangan untuk kita, negara Islam mana yang tak pernah ditimpa hujan? Apakah ia salah agama Islam jika negara-negara umat Islam di Timur Tengah, Afrika Utara dan di benua Asia Timur ini masih bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan nyaka lagi gejala buruk?

Tentunya tidak. Justeru, menyalahkan dasar kerana nama ‘sekular’ atau apa jua nama, bukanlah jalan penyelesaian.

Initipati demokrasi adalah dengan menggalakkan penglibatan seramai mungkin individu masyarakat dalam membuat keputusan, dasar dan pelaksanaannya. Dengan mekanisme inilah maka kajian yang menyeluruh mampu dibuat.

Tanpa kajian yang lengkap, mana mungkin konflik dapat dikenal pasti punca dan penyelesaiannya. Menghukum memang lebih mudah dari mendidik, maka pilihlah yang terbaik. – Roketkini.com

Status agama: Kes diserah balik ke Mahkamah Tinggi
Hafiz Yatim
1:57PM Feb 2, 2012
Mahkamah Persekutuan tidak akan menjawab lima persoalan perlembagaan yang dibangkitkan mengenai status agama seorang penjaga kedai berusia 61 tahun dan anak-anaknya kerana terdapat fakta-fakta yang dipertikaikan.

Soalan-soalan itu perlu dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam, kata panel lima hakim yang diketuai oleh presiden Mahkamah Rayuan Presiden Tan Sri Md Raus Sharif, hari ini.

Dalam penghakiman di Putrajaya, hakim Md Raus berkata masih terdapat fakta kes yang dipertikaikan dan perkara itu perlu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.

"Kami akan biarkan Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung fakta-fakta berkenaan dahulu," kata beliau ketika menolak permohonan berkenaan.

Empat hakim lain yang bersidang bersama adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah.

Penjaga kedai itu, Zaina Abdin B Hamid @ S Maniam atau Balachandran dan dua anak lelakinya, Surindran a/l Zaina Abdin dan Mohanasubash a/l Zaina Abdin serta anak perempuannya Chandrika a/p Zaina Abdin beragama Hindu dan mendakwa mereka bukan berfahaman Islam.

Walaupun mempunyai nama Islam, Zaina Abdin menegaskan dalam afidavit bahawa beliau tidak pernah mengamalkan Islam sejak dilahirkan. Katanya, beliau beragama Hindu dan berkahwin dengan seorang wanita Hindu dan mempunyai tiga orang anak.

Perkahwinannya telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada tahun 1986.

Ibu Zaina dicatatkan sebagai beragama Islam manakala bapanya dikatakan telah memeluk agama Islam.

Tetapi kedua-dua mereka, mengikut afidavit Zaina, mengamalkan cara hidup agama Hindu.

Zaina dan anak-anaknya diwakili peguam K Shanmuga dan Fahri Azzat. Mkini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...