Thursday, January 12, 2012

Murahnya nilai Universiti

SITC dan UPSI: Beza yang ketara - Azlan Zainal
Jan 12, 2012 Saya bukan lepasan UPSI (dulu; SITC) namun terpanggil menulis artikel ini setelah melihat saudara seperjuanganku Safwan Anang disepak, diterajang dan dilukai tanpa belas kasih dan teman aktivisku Adam Adli digantung tidak bertali oleh mahkamah ‘ala rimba’ AUKU.

Murahnya nilai Universiti yang selama ini dianggap sebuah institusi ‘suci’. Harga setitis darah adalah terlalu mahal untuk dibayar, berbanggalah kalian kerana itulah mahar dalam perjuangan menegakkan kebenaran.

Dulunya, Sultan Idris Training College (SITC) merupakan pusat intelektual anak-anak petani dan nelayan. Institusi ini berjaya membentuk golongan elit Melayu yang sedar akan untung nasib bangsanya.

Mereka melihat penjajah sebagai penindas dan telah menekan kehidupan orang Melayu sejak berkurun lamanya. Oleh itu, mereka bangkit menentang penjajah.

Kesedaran cinta akan tanah air dan bencikan penjajah ini bermula dengan idea ‘Alam Melayu’ yang diperoleh daripada tenaga-tenaga pengajar di SITC.

Para penuntut SITC ini mengalami proses sosialisasi politik yang lebih intensif dan disengajakan untuk menyuburkan semangat kebangsaan (nasionalis) dan kepribumian mereka.

OT Dussek, merupakan pengetua SITC yang pertama telah mendapatkan buku-buku Indonesia terbitan Balai Pustaka untuk kegunaan pelajar. Beliau juga telah menubuhkan Biro Terjemahan di SITC.

Guru Eropah

Kesan dan dampaknya memperlihat para penuntut SITC sudah mula mengenali dengan sesungguhnya akan perubahan politik dan sosial semasa serta masalah yang berhubung dengan orang Melayu.

Institusi ini dinamakan Maktab Latihan Sultan Idris (Sultan Idris Training College) sebagai menghormati Almarhum Sultan Idris Ibni Raja Iskandar, Perak. Pembinaannya mengambil masa selama 3 tahun di dalam kawasan seluas 80 ekar dan boleh memuatkan sehingga 200 pelajar dan guru.

Selang beberapa tahun kemudian, SITC berupaya menampung lebih kurang 400 pelajar. Tenaga pengajar awal di SITC ialah empat orang guru Eropah, sembilan orang guru Melayu dan seorang guru Filipina.

Pembinaan SITC berkait rapat dengan inisiatif RO Winstedt, Penolong Pengarah Pelajaran yang bertanggungjawab terhadap pelajaran vernakular Melayu di Negeri-negeri Selat dan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Hasil kajian penyelidikan di Jawa dan Filipina, beliau telah mengesyorkan pelajaran Melayu diperkembangkan atas ‘garisan praktik perindustrian’. SITC diharapkan dapat memainkan peranan tersebut di samping mengatasi masalah kekurangan guru terlatih di sekolah-sekolah Melayu.

Beliau juga berharap agar latihan di SITC bersifat efisyen, ekonomikal dan seragam. Kurikulum yang diajar di SITC selaras dengan kurikulum sekolah. Mata pelajaran yang diajar ialah Pertanian Asas, Pertukangan Tangan, Agama, Ilmu Hisab (kira-kira), Bahasa dan Kesusasteraan, Sejarah, Ilmu Alam, Tulisan serta Lukisan.

Guru-guru yang mengajar mata pelajaran tersebut ialah para guru tempatan yang berpengalaman termasuk tenaga pengajar yang berkelayakan tinggi dibawa daripada England dan Filipina.

Penyuntik semangat nasionalisme

Tokoh-tokoh pendidik di SITC yang kemudiannya menjadi peniup kesedaran kebangsaan dan penyuntik semangat nasionalisme ialah Abdul Hadi Hassan, Harun Muhammad Amin, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dan Nordin Harun.

Sebagai sebuah institusi yang mulanya hanya bertujuan untuk melahirkan tenanga pengajar di desa-desa bagi membentuk anak-anak petani dan nelayan menjadi sedikit lebih baik daripada bapa mereka, kini telah berubah matlamat.

Kurikulum yang diterapkan bukan sahaja membentuk para pelajar menjadi guru, malah berjaya membangkitkan semangat kebangsaan yang tebal. Golongan guru lepasan SITC ini telah sedar dan bangun untuk membebaskan tanah air dari belenggu penjajahan dan cengkaman kolonialisme.

Walaupun sekolah-sekolah Melayu lahir lewat berbanding sekolah-sekolah inggeris, namun kesan pendidikan yang diterima amat mendalam kerana berjaya memupuk kesedaran tentang nusa dan bangsa dan ia bertiup kencang ke seluruh tanah air sehingga terbitnya kesepakatan menuju kemerdekaan.

Hal ini kontradik dengan para lulusan pendidikan Barat pada ketika itu, mereka terdiri daripada golongan feudal (istana, bangsawan dan atasan) yang lebih dilihat bersikap pro-Barat.

Namun begitu, berbeza pula dengan golongan pendidikan Barat di Indonesia, mereka lebih bersikap anti-kolonial dan menjadi penggerak kepada kebangkitan nasionalisme.

Ini kerana, peranan golongan tersebut digerakkan dan dimainkan oleh golongan berpendidikan Melayu di Tanah Melayu, terutama oleh tenaga-tenaga pengajar, para pelajar dan lepasan SITC. Kesedaran cinta akan tanah air dan bencikan penjajah kian menular dan ia bermula dengan idea ‘Alam Melayu’ yang diperoleh daripada para pensyarah SITC.

Sebenarnya, ‘prime mover’ dan penggerak utama yang sangat penting dalam kebangkitan kesedaran ini ialah OT Dussek sendiri.

Peranan besar beliau ini diakui oleh Karim Rashid, bekas pemimpin KMM. Beliau menyatakan semangat kebangsaan yang mula tumbuh dan bercambah mekar di Tanjung Malim adalah hasil dorongan Dussek.

Sebagai pengetua SITC yang wibawa, beliau telah mencabar para pelajarnya dengan berkata: “....mana Hitler kamu, mana Musollini kamu, orang-orang Melayu?”

Dussek sering membangkitkan semangat para pelajar Melayu dengan tujuan membasmi sikap tidak apa. Beliau cuba membangkitkan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan seperti “orang Melayu itu BODOH”, “kamu orang Melayu, asam garam juga kena beli dari orang lain”, dan “kamu orang Melayu kuli (balaci) kepada Inggeris”.

Perkara-perkara inilah yang akhirnya berjaya membangkitkan kesedaran dikalangan pelajar SITC tentang jatuh bangun bangsa Melayu ketika itu.

Tokoh SITC yang kian dilupakan

Selain OT Dussek, tiga orang tokoh besar SITC yang sangat berjasa ialah Abdul Hadi Hassan, Harun Muhammad Amin (nama penanya Harun Aminurrashid) dan Ibrahim Yaakob (lepasan SITC).

Mereka sangat berpengaruh dan konsisten dalam menyebarkan idea ‘Alam Melayu’ dan sangat dipengaruhi konsep nusantara yang mengatasi rasa kenegerian yang sempit.

Abdul Hadi Hassan adalah antara pelopor awal yang membangkitkan kesedaran terhadap para penuntut di SITC. Sebagai pensyarah, beliau antara yang disebut-sebut paling aktif, dinamik, progresif dan dinamik.

Menerusi mata pelajaran sejarah ditanamnya semangat kebangsaan kepada para penuntutnya. Beliau sangat marah jika para pelajarnya gagal dan tidak lulus dalam subjek tersebut. Menurut beliau, melalui sejarahlah seseorang itu boleh mengetahui kelemahan dan kejayaan sesuatu masyarakat dan bangsa.

Beliau menggunakan Jepun sebagai contoh yang telah berjaya mencapai kemajuan dan dapat mengalahkan kuasa besar iaitu Rusia.

Jelas di sini, beliau telah berjaya memainkan dua peranan penting iaitu sebagai guru yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu dan sebagai penyuntik serta pembakar semangat kesedaran kepada para penuntutnya.

Kesannya, beliau berjaya melahirkan beberapa orang pelajar ulung, antaranya Harun Muhammad Amin, Buyong Adil dan Karim Rasyid. Kesedaran terhadap apa yang difahami tentang nasib bangsa membuatkan beliau sangat bersemangat ketika mengajar.

Beliau bukan sahaja mahu pelajarnya mengerti apa yang diajar malah mengharapkan kesedaran dan keinsafan seperti apa yang dirasainya. Sikap dan usaha beliau dalam memberikan kesedaran tidak menyenangkan pihak kerajaan (British) dan akhirnya beliau ditukarkan ke Kelantan atas alasan kenaikan pangkat.

Tokoh lain yang menjadi pemangkin kebangkitan ini ialah Harun Muhammad Amin. Pada 1924 hingga 1926 beliau melanjutkan pengajiannya di SITC. Hasil kecemerlangan akademiknya, beliau telah terpilih sebagai tenaga pengajar di situ.

Pembacaannya yang luas telah membuatkan minda beliau terdedah kepada senario politik Indonesia dan seterusnya memberikan pemahaman mendalam terhadap landskap politik tanah air.

Nama Melayu habis binasa

Impaknya, Harun menjadi seorang guru tinggi semangat kebangsaannya dan bercita-cita membebaskan negara dari belenggu penjajah. Walaupun bukan guru sejarah, namun beliau memasukkan unsur-unsur tersebut di dalam penulisan dan syarahan-syarahan berkala yang disampaikannya.

Beliau memang terkenal kerana sangat fasih berpidato sehingga pada 1938, berlaku satu peristiwa yang ditimbulkan oleh para pelajar kesan daripada ceramahnya dengan berarak beramai-ramai dan menyanyikan lagu yang berunsur kebangsaan, liriknya ditulis oleh beliau berbunyi:

"Kita sekalian orang muda Melayu,
Mestilah sedar bergerak maju,
Kalau kita lambat, Kita akan rosak,
Nama Melayu habis binasa,
Ingat-ingat, Kaumku sekalian."

Perarakan itu juga menjadi sebab akhirnya Harun dipindahkan ke Brunei. Sebagai pembangkit semangat dan kesedaran perjuangan, beliau berjaya melahirkan seorang pelajar yang unggul, yang amat kagum dengan falsafah Melayu Raya iaitu Ibrahim Yaakob.

Mereka juga telah berjaya membentuk beberapa persatuan pelajar yang mempunyai rangkaian yang sangat luas. Ibrahim Yaakob sememangnya mengagumi Harun Aminurrashid.

Dalam satu perbincangan dengan Dr Burhanuddin al-Helmy berkenaan bagi menentukan kemerdekaan sekembali bertemu Soekarno di Taiping, beliau berkata: “Kalau ada Cikgu Harun, dia tentu mahu Merdeka sekarang ini juga, tanpa menunggu persetujuan kaum-kaum yang lain lagi, sebab negara ini negara Melayu”.

Pada beliau, seluruh negara di Nusantara ini dikenali dengan Alam Melayu dan tidak bisa berpisah melainkan ia dipecahkan setelah kedatangan penjajah.

Dari idea ‘Alam Melayu’ kepada Gagasan ‘Melayu Raya’

Melalui para pengajar SITC seperti Cikgu Abdul Hadi Hassan dan Cikgu Harun Muhammad Amin, idea Melayu Raya menyerap masuk ke dalam benak fikiran para penuntutnya.

Gagasan yang diperkenalkan dalam bentuk konsep akhirnya cuba direalisasikan dalam bentuk perjuangan politik. Sebagai seorang pelajar dan aktivis di SITC, Ibrahim Yaakob dikatakan sangat mengagumi idea tersebut dan cuba menjadikan asas perjuangan politiknya beberapa tahun selepas tamat pengajiannya bermula dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang merupakan pertubuhan politik berhaluan kiri pertama sekali muncul di Tanah Melayu yang tidak bekerjasama dengan pemerintah kolonial.

Walaupun jangka hayat KMM tidak lama perjuangan beliau tidak pernah terhenti malah berkesinambungan oleh teman-teman seperjuangan yang lain seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ishak Muhammad dan Ahmad Boestamam melalui PKMM, API dan Putera-AMCJA.

Hakikatnya SITC (kini; UPSI) telah berjaya mencetuskan idea perubahan dan membangkitkan kesedaran ke arah kemerdekaan serta melahirkan ramai tokoh gerakan massa yang wibawa.

UPSI hari ini

Muktahir ini, apa yang difahami daripada penceritaan sejarah hanyalah tinggal sejarah. UPSI seolah tidak berdaya lagi.

Kebanyakkan para sarjana dan para guru yang lahir darinya seolah-olah tidak pernah langsung memahami apa yang pernah berlaku di bumi Tanjung Malim tersebut.

Guru hanya dianggap sebagai kerjaya dan profesion demi sesuap nasi dan tangga gaji. Para graduan kini hanya diajar tentang ilmu tetapi tidak diterapkan dengan penghayatan terhadapnya serta beramal dengannya secara praktis.

Walaupun taraf UPSI telah sampai ke peringkat Universiti, malah lebih jauh ketinggalan dan mundur daripada SITC dahulu. Mana perginya seorang Naib Canselor sepeti OT Dussek yang hanya pengetua pinjaman malah dia bukan seorang Melayu namun faham tentang peri penting membina jati diri bangsa agar berjuang mempertahankan hak.

Mana hilangnya tenaga pengajar seperti Abdul Hadi Hassan dan Harun Muhammad Amin yang mampu menggembleng kesedaran bangkit melawan kezaliman, penindasan dan sedia berkorban untuk mempertahankan kebenaran sehingga ada di antara mereka pernah ditukar tempat berkerja, dipenjarakan dan seringkali diintip serta diburu pemerintah kerana hanya mejalankan tanggungjawab mendidik anak bangsanya kenal tentang perihal nusa.

Apa yang dilihat kini, sikap pendidik sekarang lebih banyak menghukum tanpa usul selidik daripada bertanggungjawab memanusiawikan pelajarnya.

Mana perginya pelajar sehebat Ibrahim Yaakob yang mampu memimpin puluhan pertubuhan dan persatuan serta mampu menukar konsep idea menjadi realiti pergerakan perjuangan beliau menuju kemerdekaan.

Adakah kita sudah lupa akan jasa, pengorbanan dan perjuangan mereka? UPSI tidak akan menjadi seperti hari ini sekiranya mereka tidak pernah belajar dan mengajar di situ dahulu.

Insiden Adam Adli dan Safwan Anang

Apa yang berlaku belakangan ini sungguh menyayat hati. Insiden yang melibatkan pembantaian terhadap mahasiswa di bumi bersejarah Tanjung Malim telah menafikan hakikat sejarah bahawa di sanalah bermulanya era kebangkitan rakyat melawan kezaliman dan berjuang demi kebenaran.

Di SITC (kini; UPSI) inilah dahulunya, hak kebebasan berhimpun, bersuara, melazimi orentasi organisasi, semangat berpersatuan, menghayati aktivisme dan menyusun atur gerakan ini bermula.

Namun setelah Safwan Anang diperlakukan sedemikian rupa tanpa rasa belas kasih, dan Adam Adli dihukum dengan tidak adil meyakinkan saya bahawa UPSI sudah jauh berbeza.

Generasi yang ada sekarang tiada upaya mempertahankan legasi hebat dan agung SITC dahulu, hanya rela diperalat dan menjadi perkakas kepada regim baru (pemerintah) pasca merdeka, seolah masih meneruskan agenda neo-kolonial versi mellinium sehinggakan institusi suci bernama ‘Universiti’ ini dikotori dengan campur tangan politik yang ketara ‘bias’nya.

Pada saya, kerajaan pemerintah dan pentadbiran UPSI perlu sedar bahawa perjuangan mereka (mahasiswa) yang inginkan kebebasan akademik adalah sekelumit cuma daripada apa yang pernah diperjuangkan oleh generasi terdahulu yang cintakan kebebasan dan impikan kemerdekaan.

Tidak malukah kalian dilihat terlalu dangkal dalam menilai dan meghukum perjuangan mereka sedangkan apa yang dibawa adalah terlalu murni daripada kerusi jawatan yang kalian nikmati.

Mereka tidak pernah memilih untuk bermusuh, namun hanya sekadar ingin berkongsi tentang idealisme dan cita-cita perjuangan mereka kepada kalian. Kenapa perlu diterima? Sebab kita diajar tentang meyakini kebenaran kerana ilmu dan hujahnya, tetapi bukan kerana orangnya.

Maka jangan takut jika benar, berjuanglah untuk terus mempertahankannya. Salute kepada yang berani! Tribute untuk Mahasiswa!

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Malaysiakini.

Azlan Zainal adalah bekas aktivis mahasiswa 2005-2008. Beliau sekarang bekerja sebagai pengarah eksekutif Ilham Centre, sebuah firma penyelidikan bebas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...