Friday, January 20, 2012

Kuin dan Auku

1. Saya menulis saat ramai orang sedang enak tidur di buai mimpi. Sejurus tiba dari Kuala Lumpur sebentar tadi, jam menunjukkan 2.30 am. Bukan sahaja saya tidak mampu melelapkan mata tetapi juga resah mengenang masa depan yang tentunya menjanjikan 1001 cabaran buat diri saya dan perjuangan Islam yang saya dokong ini.

2. Antara yang benar - benar mengganggu keselesaan dan mengusik jiwa muda saya buat masa ini ialah isu KUIN dan AUKU. Sekian lama saya berlunak dengan semua pihak bagi menjernihkan suasana dan meredakan keadaan. Sebelah kanan saya ialah bapa yang banyak membekal ilmu, hikmah dan pengalaman berjuang sementara sebelah kiri saya ialah adik - adik yang meronta mohon diadili selayaknya. Sementara saya masih berdiri digaris tengah dengan tetap mempertahankan prinsip perjuangan suci yang saya galas sejak sekian lama.

3. Sebahagian prinsip yang saya maksudkan itu ialah pendirian saya dan pendirian Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap AUKU. Jelas pendirian kami sehingga kini tidak berubah iaitu mansuhkan AUKU. Sebagaimana saya pernah ke lokap, bermandi air asid dan bersimbah gas pemedih mata memperjuangkan pendirian Mansuhkan ISA, maka demikianlah saya dan rakan - rakan pemuda konsisten berjuang untuk mansuhkan AUKU bukan memindanya seperti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan UMNO dan BN. Terbaru saya telah meminta agar JUHAM DPPM menghantar memorandum bantahan AUKU dan RUU Himpunan Aman kepada kementerian yang terbabit, tetapi tertangguh atas faktor kesesuaian masa dan pertembungan program. Insyaallah ia akan di"proceed" dalam tempoh terdekat.

4. Pendirian ini bukan kepada kes - kes tertentu atau universiti dan kolej tertentu tetapi meliputi semua termasuk KUIN yang berada di bawah Kerajaan Negeri Kedah dan ianya ditadbir oleh Pakatan Rakyat sementara Menteri Besarnya dari PAS. Pendirian kami tidak berubah dan tegas. Malah beberapa kali telah saya kemukakan samaada dihadapan YAB Menteri Besar sendiri, mahupun melewati kenyataan media yang menggesa agar KUIN bertindak wajar dan tidak menggantung 5 orang mahasiswanya.

5. Namun, cara dan pendekatan saya mungkin berbeza dengan pihak lain termasuk sebahagian mahasiswa sendiri. Ianya berasaskan khibrah atau pengalaman, sedang saya pernah melalui alam kemahasiswaan. Saya telah merayu dan meminta jasa baik KUIN agar mengkaji semula tindakan yang diambil dan saya telah merancang untuk pergi mengadap pihak tertinggi dalam pentadbiran KUIN. Namun hasrat itu tergendala apabila saya dimaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke mahkamah oleh pihak mahasiswa. Maka biarlah mahkamah yang membuat keputusan kerana kes ini telah dihadapkan kepada mahkamah.

6. Saya mengambil sikap, jika itu adalah keputusan yang dianggap wajar oleh adik - adik mahasiswa KUIN yang digantung pengajian mereka oleh pihak pentadbir KUIN tersebut, maka saya akur dan mendoakan agar mereka beroleh kejayaan. Buat pengetahuan umum, saya sendiri telah bertemu dengan adik - adik mahasiswa yang telah diambil tindakan ini dan mendengar suara serta penegasan mereka, malah saya masih ingat lagi kata - kata saya kepada mereka dengan disaksikan oleh Sdr Sabki Yusuf Naib Ketua DPPM pada waktu itu, Yb Ust Nasir Zakaria selaku Exco DPPM dan Ust Ahmad Yahya selaku Ketua DPP Negeri Kedah. Apa yang saya tegaskan ialah, jika antum rasa ini adalah satu kebenaran maka antum mesti mempertahankan pendirian antum dan hadapinya sehingga berjaya. Inilah idealisme mahasiswa dan perjuangkannya.[ Itu penegasan saya dan itu prinsip saya dan tidak perlu saya ulang sebut acap kali seperti ia bukan suatu yang penting dan muktamad sedang ia prinsip dan muktamad sifatnya. Saya pun tidak suka bercakap perkara yang sama berulang kali. ]

7. Sepanjang tempoh itu pula, saya tidak meninggalkan kes ini berlalu begitu sahaja. Saya minta jasa baik JUHAM pula untuk meneruskan apa jua usaha yang boleh DPPM hulurkan kepada mahasiswa tersebut. Bermula di zaman Dr. Zulqarnain menjadi pengarah JUHAM dan dibantu sdr Abdullah Karim selaku Exco DPPM pada waktu itu yang juga merupakan seorang lawyer sehinggalah sekarang, JUHAM bersama pengarah barunya sdr Zamri terus mewakili DPPM menghulurkan apa jua bantuan yang dirasakan perlu.

8. Ertinya saya tegaskan disini bahawa DPP Malaysia terus komited dengan gerakan Mansuhkan AUKU dan tentunya kita harapkan mahasiswa sendiri yang "lead" atau terajui gerakan mansuhkan AUKU justeru itulah perjuangan agar mereka bebas dari cengkaman AUKU yang membelenggu mereka sejak lebih 40 tahun lalu. DPPM bersama dengan gerakan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara akan datang.

9. Saya tidak mengambil sikap menghukum siapa benar dan siapa pula salah dalam hal mahasiswa vs KUIN ini. Kerana pastinya kedua - dua belah pihak mempunyai hujjah masing - masing dalam mempertahankan sikap dan tindakan yang diambil, tetapi saya mempersoalkan bentuk hukuman dan cara ianya diambil. Menggunakan AUKU bukanlah langkah bijak sebagaimana menafikan hak mahasiswa bersuara juga bukan langkah yang baik.

10. Akhirnya saya berharap adik - adik mahasiswa bersabar mendepani dugaan ini. Andai kalian dipihak yang benar, pasti sahaja kebenaran itu akan terserlah jua. Kerana Allah bersama hambanya yang benar dan sabar. Saya jua senantiasa mendoakan kejayaan kalian. Teruskan perjuangan membebaskan mahasiswa dari kepungan AUKU, biar siapa yang terpaksa didepani. Namun nasihat saya selaku ketua DPPM, berjuanglah dalam kawalan adab dan akhlak yang diajar oleh Islam, agar tidak emosi menguasai diri tetapi kebijaksanaan, kewibawaan dan kematangan mahasiswa kelak akan membuka mata semua pihak.

Selamat berjuang dari saya
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...