Malaysia miliki Kereta Perisai termahal di dunia?
KUALA LUMPUR 28 Okt: Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat pembaziran Kementerian Pertahanan yang membeli kenderaan berperisai berjumlah RM7.55 bilion.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata, ia penting kerana pembaziran itu berterusan sejak Datuk Seri Najib Razak memimpin kementerian itu.
Najib ialah menteri pertahanan sehingga 2009 sebelum kementerian itu diterajui Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
“Jumlah pembaziran yang didedah itu cukup tinggi malah Ketua Audit Negara sebelum ini mendesak segala pembaziran yang berlaku itu segera diperbetulkan.
“Oleh itu, kita mendesak satu jawatankuasa khas bagi menyiasat pembaziran itu,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.
Pada perbahasan di Parlimen sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoal tindakan kementerian Pertahanan membeli 257 kenderaan perisai berharga RM7.5 bilion, iaitu enam hingga tujuh kali lebih mahal berbanding harga pasaran.
Tony Pua dalam kenyataannya berkata, beberapa kenderaan berperisai yang hampir sama, memiliki harga yang lebih rendah di pasaran.
Antaranya, tentera Portugal yang membayar RM4.4 juta untuk setiap satu kenderaan berperisai model Pandur II 8×8.
Manakala versi terkini kenderaan berperisai model Pirahan III 8×8 yang dibangunkan Swiss MOWAG GmBH pula hanya berharga RM3.9 juta setiap satu.
Sebelum ini, kementerian pertahanan turut membazirkan wang rakyat dengan membeli enam kapal peronda pesisir pantai (OPV) dari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada harga RM1 bilion dengan harga keseluruhan RM6 bilion.
Jumlah itu lima kali ganda lebih mahal berbanding apa yang dibayar Royal New Zealand Navy untuk tujuan sama.
Kementerian Pertahanan juga membeli helikopter Eurocopter EC275 pada harga RM190 juta setiap satu berbanding Brazil yang hanya membeli helikopter itu hanya RM82 juta setiap satu.
Ini bermakna kementerian itu membazirkan wang rakyat sebanyak RM108 juta.
Sekali imbas angka-angka tiga kontrak ini – kenderaan berperisai, kapal peronda dan helikopter – menandakan berlakunya ketirisan dan pemborosan wang rakyat sekitar RM12 bilion daripada urusniaga kementerian itu -keadilandaily.com
Asal perjanjian ditandatangani kontrak ini bernilai RM1.7 Billion sahaja sila lihat di SINI
Malaysia miliki Kapal Peronda termahal di dunia?
KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) membayar 870 peratus lebih mahal dari negara lain bagi pembelian kapal laut, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua.
Beliau merujuk pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyatakan kerajaan menyediakan peruntukan RM6 bilion untuk membeli enam kapal laut.
Katanya, pembelian kapal peronda pesisir pantai OPVs oleh Tentera Laut Diraja New Zealand tahun lalu hanya bernilai NZ$90 juta (RM210 juta) setiap satu, sedangkan Malaysia membayar RM1 bilion setiap satu.
“Israel pula membayar AS260 juta (RM791 juta) untuk OPVs, kurang RM219 juta daripada yang dibayar Kementerian Pertahanan,” katanya dipetik dari Malaysiakini.
Phua juga menyenarai harga kapal laut negara lain iaitu kelas Roisin buatan Ireland bernilai AS34 juta (RM103 juta); Super Vita dari Greek AS$108 juta (RM329 juta); Type 130 dari Jerman AS188 juta (RM572 juta) dan Saar V dari Israel AS260 juta (RM791 juta)
setiap satu.
“Lockheed Martin dan General Dynamics, dua syarikat persenjataan terbaik dan terbesar di dunia, membina kapal perang Littoral (LCS) Amerika Syarikat dengan nilai kurang AS300 juta (RM913 milion) pada 2004,” katanya.
Sebelum ini, syarikat milik kerajaan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Penang Shipyard and Construction Industries Bhd (PSCI) diberi kontrak sama pada 1998 bagi membina dan membekal enam kapal peronda dengan harga RM5.4 Bilion.
Bagaimana, syarikat itu gagal menyiapkannya dan meminta kerajaan untuk mengeluarkan modal tambahan dipercayai akibat amalan korupsi dan membawa kepada krisis dalaman.
Berikutan itu, pengurusan PSCI dirombak dan digabung dengan Boustead Holding Bhd, menjadi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.
http://www.keadilandaily.com/?p=6341
Ketirisan amat parah di Kementerian Pertahanan...
Apakah perasaan anda yang membayar cukai jika anda tahu bahawa Kementerian Pertahanan Malaysia telah membayar sebanyak RM7.55 bilion untuk membeli kereta perisai yang harga pada awal perjanjian dimeterai ialah RM1.7 Billion?
Apakah perasaan anda yang membayar cukai jika anda tahu bahawa Kementerian Pertahanan Malaysia telah membeli enam buah kapal peronda luar pantaidari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada harga sebuah RM1 bilion (jumlah RM6 bilion) jauh lebih mahal dari mana-mana kapal yang serupa diseluruh dunia?
Apakah pula perasaan anda yang membayar cukai jika anda tahu bahawa Kementerian Pertahanan Malaysia telah membeli helikopter jenis Eurocopter EC725 pada harga RM190 juta setiap sebuah (RM2.3 bilion untuk 12 buah) manakala Brazil membeli helikopter jenis yang sama pada harga hanya RM82 juta sebuah.
Kesalahan bukannya terletak pada Kementerian Pertahanan tapi Menteri yang meluluskan peruntukan itu..
*********************
Ketirisan amat parah di Kementah
Bagaimana anda rasa sebagai pembayar cukai jika seseorang memberitahu anda bahawa Kementerian Pertahanan (Kementah) membayar sebanyak RM7.55 bilion untuk membeli kereta perisai yang harga sebenar hanya seperempat dari jumlah itu?
Jika anda benar-benar tahu berapa nilai RM7.55 bilion (atau RM7,550 juta) itu, anda mungkin terperanjat dan sukar untuk mempercayai dan memekik: “Adakah kerajaan kita begitu teruk? Adakah mereka begitu berani?”
Jawapannya ialah ia; dan tirai drama mula dibuka di parlimen kita, tidak seperti di setengah-setengah laman web yang membuat dakwaan yang tidak berasas.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyoal Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kenapa Kementah membayar harga yang sangat mahal, sebanyak RM7.8 bilion untuk 257 buah kereta perisai.
Zahid menjawab bahawa kementeriannya tidak tahu bahawa harganya RM7.8 bilion seperti mana yang didakwa oleh Pua dan harga kontrak muktamad ialah RM7.55 bilion.
Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang urusniaga yang membolehkan pembekal mendapatkan kenderaan- kenderaan tersebut dari Turki pada harga seperempat dari harga yang dibayar oleh Kementah.
Namun penafian Zahid itu akhirnya terbongkar apabila Pua mendedahkan bahawa Zahid sendiri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari lalu.
Perjanjian itu ditandatangani di antara syarikat pembekal Malaysia, Deftech dan pengeluar kenderaan pertahanan Turki FNSS, syarikat usahasama di antara BAE Systems Inc. dari United Kingdom dan Nurol Holding dari Turki.
Perjanjian ini dilaporkan dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 3 Jun 2011 di laman web BAE System Inc. melibatkan kontrak bernilai USD559 juta yang diberi kepada FNSS untuk “merekabentuk, membangun dan mengeluarkan” sebanyak 257 DEFTECH AV-8 8X8 kereta perisai beroda dan Sokongan Logistik Berintergrasi untuk Angkatan Tentera Malaysia.
Kenderaan-kenderaan tentera yang diberi nama ‘DEFTECH’, sebenarnya direkabentuk oleh FNSS PARS 8X8, kenderaan serbaguna, pelbagai misi, kenderaan beroda lengkap dengan peralatan senjata.
Harga melambong
Ini bermakna Kerajaan Malaysia membayar Deftech sebanyak RM7.55 bilion (RM29.4 juta untuk sebuah), yang kemudian membayar FNSS sebanyak RM1.7 bilion untuk 257 buah kereta perisai itu (RM6.6 bilion sebuah).
Jika anda seorang pembayar cukai yang marah dengan ‘rompakan di siang hari’ melibatkan RM6 bilion dari dana awam, tunggu dulu sehingga anda mendengar harganya di pasaran, yang jauh lebih rendah dari yang ditawarkan oleh FNSS.
Pua dalam satu kenyataannya bertarikh 9 Mac 2011, dalam blognya melaporkan bahawa harga-harga berikut untuk kereta perisai yang setanding yang ditawar dan diurusniagakan dalam pasaran.
- Pasukan tentera Portugal membayar RM4.4 juta sebuah untuk kereta perisai Pandur II 8X8 (EUR364 juta untuk 353 buah)
- Model terbaru Pirahan III 8X8 kereta perisai beroda yang dikeluarkanoleh Swiss MOWAG GmBH bernilai RM3.9 juta (USD1.2 juta) untuk tiap-tiap sebuah.
Dengan harga-harga ini sebagai rujukan, adalah wajar untuk kita mengharapkan supaya Kementah membuat tawaran tender terbuka dan mencapai keputusan muktamad.
Kita boleh mengurangkan harga tidak melebihi RM4.5 juta dari RM30 juta untuk sebuah kenderaan pada ketika ini dan mengurangkan nilai kontrak kepada RM1.15 bilion dari RM7.55 bilion.
Ini bermakna kerajaan Barisan Nasional telah melambongkan harganya sebanyak enam hingga tujuh kali ganda mengikut dasar pembelian peralatan pertahanan yang sama sekali tidak bersifat telus dan bertanggungjawab.
Jumlah yang sebegitu tinggi amat memeranjatkan yang mungkin tidak pernah kita dengar walaupun dalam sebuah negara yang paling korup di dunia sekali pun.
Perbelanjaan yang menggila
Urusniaga ini adalah salah satu dari kes bagaimana Kementah membelanjakan wang berbilion ringgit untuk membeli bot peronda dan helikopter dengan harga yang begitu tinggi.
Sebagai contoh, Kementah membeli enam buah kapal peronda luar pantaidari Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada harga sebuah RM1 bilion (jumlah RM6 bilion).
Harga yang dibayar ini adalah lima kali ganda dari apa yang dibayar oleh Royal New Zealand Navy untuk pembelian OPV, diperolehi pada harga hanya RM210 juta sebuah (NZ$90 juta) dari syarikat kedua terbesar di dunia, BAE Systems.
Begitu juga dengan pembelian helikopter jenis Eurocopter EC725 pada harga RM190 juta setiap sebuah (RM2.3 bilion untuk 12 buah) manakala Brazil membeli helikopter jenis yang sama pada harga hanya RM82 juta sebuah.
Melihat kepada tiga kontrak ini sahaja – kereta perisai, kapal peronda dan helikopter – menyaksikan ketirisan sebanyak RM12 bilion ekoran transaksi Kementah ini.
Dengan wang sebanyak ini, kita boleh membina rumah kos rendah untuk 250,000 keluarga, menyediakan kemudahan perumahan kepada sejuta rakyat yang tidak mampu.
Dasar pembelian pihak pertahanan melibatkan rasuah yang begitu bermaharajalela sememangnya diketahui ramai di kalangan para pegawai dan eksekutif pertahanan antarabangsa seperti mana yang didedahkan oleh Wikileaks.
Wikileaks mendedahkan kabel dari Kedutaan Amerika Syarikat tentang rakaman perbualan di antara saudara mara dan rakan-rakan ahli-ahli politik ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai timbalannya pada sekitar tahun 2004 hingga 2009.
Di samping mendedahkan jenis rasuah secara spesifik, kabel Amerika itu juga mendedahkan bahawa rasuah menjadi sumber pendapatan utama sebagai dana politik bagi mengekalkan kuasa pihak pemerintah.
Melihat dari perspektif yang lebih besar, ketirisan akibat tiga kontrak ini merupakan sebahagian kecil sahaha dari ketirisan-ketirisan yang berlaku dalam sistem pembelian kerajaan Barisan Nasional, sebagaimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Laporan-laporan tahunan seperti ini, yang mendedahkan amalan rasuah dan salah guna pengurusan (hingga ada yang sukar dipercayai) sering menjadi peringatan bahawa kita terperangkap dengan sistem tadbir urus yang buruk dan akibatnya akan terus menerus mengeringkan sumber dana negara.
Tetapi jika kita menyedari bahawa Laporan Ketua Audit itu adalah sebahagian kecil dari ketirisan yang berlaku setiap tahun, kerana ianya meliputi laporan sebahagian kecil sahaja dari jumlah ratusan jabatan-jabatan kerajaan yang ada maka tentu kita amat bimbang dengan keadaan ini.
Dan adakah perubahan terhadap institusi-institusi telah dan akan berlaku di bawah pimpinan politik sekarang?