Meskipun mengalami penderitaan lantaran hukuman penjara yang dilaluinya pada tahun 1998, namun Anwar Ibrahim tetap bersyukur kerana dirinya masih hidup (survive) setelah mengharungi pengalaman tersebut. Berdepan dengan keputusan kes liwat 2 yang bakal diumumkan mahkamah tinggi pada 9 Januari 2012, beliau dengan yakin berkata, "We are on the right side of the history!"
Dalam ucapan lebih daripada sejam itu, Anwar Ibrahim lebih menekankan isu kebangkitan mahasiswa, mengimbas pengalaman dirinya ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan dalam kerajaan, mengkritik sistem negara yang semakin bobrok di depan mata. Beliau hanya menyentuh tentang 9 Januari ketika menyimpul ucapannya, bagaimanapun menegaskan bahawa adalah lebih penting untuk rakyat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.
Anwar Ibrahim, 65, berucap di depan lebih 2,500 orang di dalam dan di luar Dewan Gasing Indah, Lembah Pantai semalam, menyatakan keyakinan dirinya bahawa masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini mampu mencipta sejarah untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dalam PRU 13. Malah, kumpulan-kumpulan seperti PERKASA bakal difailkan ke dalam muzium sejarah Malaysia selepas itu.
Jangan hanya cakap pasal penderitaan
Anwar pernah dipenjarakan selama enam tahun, sebelum dibebaskan pada 2 September 2004. Ketua Umum Parti Keadilan ini berkongsi hikmah di sebalik itu, mendakwa bahawa pengalaman yang dilaluinya menjadikan dirinya lebih matang ketika membincangkan soal kaum. Malah beliau berkongsi nasihat Tok Guru kepadanya, jangan hanya lihat kepada penderitaan, tetapi pengalaman tersebut menjadikan dirinya lebih sedar masalah rakyat sebagai seorang pemimpin.
Anwar berkata, dirinya pernah berucap di dalam masjid, mengambil contoh seorang anak Cina miskin bernama Swee Lin yang memperolehi 12 A tetapi tidak diberi biasiswa. Beliau berucap di depan umat Islam, bahawa Swee Lim perlu diangkat sebagai anak kita. "Kita Melayu, kita pertahankan hak Melayu, kita mengangkat martabat Islam, tapi kita mesti adil," katanya. Beliau berkata, orang boleh mempertikaikan bahawa dirinya membuat retorik politik, tetapi pengalaman enam tahun dalam penjara, membuatkan dirinya berkata dari dasar hatinya.
Anwar memulakan ucapannya dengan kebangkitan mahasiswa, yang seharusnya berperanan sebagai suara hati masyarakat. Dengan nada sinis, beliau menyindir bagaimana sesetengah siswa sekarang mencium tangan menteri korup yang menindas rakyat.
Kemudian beliau mengisahkan pengalamannya ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan, berpeluang ke Kampung Kerinchi yang perjalanannya 10 minit dari pejabatnya di Jalan Duta, melihat sendiri betapa miskin dan robeknya keadaan di sana, tatkala dipuji dengan angka pertumbuhan ekonomi yang besar dan megah.
Beliau mendakwa dirinya cuba untuk memperbaiki keadaan, mengumpul dana dari bank untuk melancarkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin. Beliau menyindir bahawa menteri sekarang tidak lagi berwibawa untuk berbuat demikian, kerana disogok oleh orang kaya. Anwar kemudiannya mengkritik bagaimana kroni UMNO mengaut keuntungan dengan perjanjian konsesi yang tidak adil, dan berakhir dengan rakyat yang menanggung beban tersebut.
Malah, mengambil contoh bagaimana seorang wanita dari keluarga miskin dihukum kerana meminum arak, tetapi Menteri yang menyalahgunakan wang zakat dipertahankan, Anwar berkata dirinya tidak menggalakkan orang minum arak, tetapi menganggap sistem ini tidak adil apabila mereka yang miskin dihukum, pada masa yang sama, orang yang kaya dan berkuasa dibiarkan bermaharajalela.
Beliau mengulangi tiga kemungkinan yang dihadapinya pada 9 Januari, pertama, tidak bersalah dan dibebaskan, kedua, dihukum tetapi diikat jamin dan ketiga, dipenjarakan terus. Beliau mendakwa dirinya tidak terusik dengan keputusan 9 Januari, menekankan bahawa beliau akan teruskan usahanya, malah menyeru rakyat bersamanya untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Turut hadir memberi ucapan termasuk bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdul Aziz Bari, aktivis sosial Hishamuddin Rais, Setiausaha Menteri Besar Selangor Faekah Husin, selain ahli parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. - Lim Hong Siang
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia. -
Nurul Izzah: Cinta kepada Anwar bukan hanya kerana beliau bapa saya
Jan 07, 2012 Seperti biasa, Anwar Ibrahim tampil berucap dengan karismanya, diselit dengan jenaka - seolah-olah tidak terusik dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang bakal diumumkan pada 9 Januari 2012. Anak sulungnya, Nurul Izzah pula merenung bapanya yang sedang berucap di atas pentas - mungkin antara ceramah terakhir jikalau situasi paling buruk berlaku.
"Kita semua terpegun dengan semangat beliau, kerana apa yang beliau lalui bukan sesuatu yang mudah," kata Nurul Izzah , bersetuju dengan apa yang disifatkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Anwar kelihatan kuat dari segi penampilannya, namun kesemua ini gagal menafikan realiti bahawa "beliau bukan lagi muda".
Nurul Izzah tidak menyelindung kebimbangannya terhadap ayahnya, yang kini mengalami kesakitan bahagian belakang tubuhnya, pada usia 65 tahun. Pengalaman silam antara sebabnya, apabila dikhabarkan Anwar diracuni arsenik ketika berada dalam penjara. Kegelisahan sedikit pun tidak terhakis, melihat kepada sistem pada hari ini, yang tidak diyakini Nurul Izzah.
"Saya merenung kembali, cuba menahan rasa takut, rasa sedih. Kerana pada saya, apapun, bila kita berbuat sesuatu, kita kena ikhlas, termasuk bila ayah berbuat sesuatu. Ayah ada semangat dan sebab musababnya sendiri," kata Nurul kepada MerdekaReview, selepas ceramah umum di Dewan Gasing Indah, Lembah Pantai, semalam.
Untuk seorang anak, tiada pengganti untuk bapanya, biar apapun yang dipertikaikan untuk tujuan perkiraan politik. Pertarungan politik terdedah kepada pelbagai kemungkinan dan risiko, dan ada sebab untuk ahli parlimen Lembah Pantai ini gusar terhadap keadaan bapanya - yang akan berdepan dengan ketidaktentuan pada 9 Januari 2012.
"Semua perjuangan kita setakat ini memberi lebih banyak sebab kenapa kita mesti terus melawan Barisan Nasional. Kerana selagi tidak digantikan pimpinan yang dapat mengembalikan kewibawaan sistem kehakiman, pihak polis, media, selagi itu kita akan berhadapan dengan perkara-perkara sedemikian," katanya.
Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat ini tidak melihat keluarganya sahaja yang mengharungi penderitaan ini, ketika ditanya perasaan beliau selaku ahli keluarga Anwar Ibrahim. "Bukan soal Anwar Ibrahim sahaja, saya nampak begitu ramai keluarga, keluarga Ahmad Sarbani, Aminulrasyid, Teoh Beng Hock, yang merana kerana tidak mendapat keadilan. Maka, mereka tahu ada campur tangan luar dalam penghukuman, dalam penghakiman."
Beliau mengambil kesempatan membuat seruan, "Harap kita jangan terlepas peluang dalam PRU 13 kerana tidak banyak peluang yang akan datang lagi."
Sebelum tamatnya wawancara yang singkat ini, Nurul Izzah ditanya apakah yang paling ingin diucapkan kepada bapanya, sebagai seorang anak, "Beliau tahu, apa yang saya rasakan untuk beliau, bagaimana saya ambil berat dan sayang kepada beliau. Dan beliau tahu cinta dan sayang saya untuk beliau disokong dengan prinsip, dan kerana apa yang beliau perjuangkan untuk rakyat."
"Itu bukan hanya kerana beliau bapa saya. Kerana saya membesar, melihat apa yang beliau lakukan. Dan saya ingin berterima kasih kepada papa," luahan Nurul Izzah.
Baca Wawancara pada November 2010: Nurul Izzah: Dia bukan Anwar kalau tak berjuang untuk kepercayaannya
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.