Saturday, January 21, 2012

AG guna hukum rimba untuk penjarakan semula Anwar

KUALA LUMPUR 21 Jan: Peguam negara mengguna hukum rimba apabila memfailkan rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Beliau merujuk kenyataan Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyatakan kononnya rayuan tersebut difailkan berdasarkan kepada bukti keterangan dan undang-undang.

“Yang nyata rayuan ini bermotifkan politik, secara tidak sah dan dipengaruhi oleh keputusan pemerintah BN. Sekiranya pejabat peguam negara meneruskan rayuan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tidak akan ada rayuan difailkan terhadap pembebasan ini.

“Satu-satunya jenis undang-undang rayuan seperti ini mungkin berasaskan kepada hukum rimba,” kata beliau sambil menambah keputusan itu memalukan reputasi negara diperingkat antarabangsa.

Menurut Surendran, sejak 1998, peguam negara telah menjadi alat kepada Umno untuk melakukan pendakwaan tidak bermoral terhadap Anwar dengan tujuan memenjarakan dan menamatkan karier politik ketua pembangkang itu.

Tambah beliau, Abdul Gani sepatutnya mempertimbangkan keperluan rayuan berdasarkan keseluruhan bukti yang disampaikan pada perbicaraan itu dan kecatatan serta kelemahan pendakwaan.

“Seperti ditunjukkan secara jelas oleh peguam semasa perbicaraan, kes terhadap Anwar sangat lompong malah tiada keperluan untuk melihat alasan penghakiman,” ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.

Menurut Surendran, rayuan tersebut juga menunjukkan penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional sejak 54 tahun lalu, akibat pemerintahan yang rasuah dan autoritarian.

“Rayuan ini adalah bukti lanjut bahawa janji-janji Najib membuat perubahan dan pembaharuan adalah tidak lebih daripada penipuan besar-besaran dan hipokrit ke atas rakyat negara ini,” ujar beliau.

Apa yang jelas katanya, motif ayuan ini adalah untuk memenjarakan Anwar dan menghalang Pakatan Rakyat dari memenangi kuasa kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

Namun, walau apapun terjadi, katanya, Anwar dan Pakatan Rakyat tidak akan gagal dalam perjuangan untuk membawa perubahan dan pembaharuan, bagi membentuk Malaysia yang lebih adil dan saksama.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25791

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...