Kata puji-pujian yang digunakan untuk membina jenama Najib dalam surat khabar serta saluran tv dan radio milik UMNO-Barisan Nasional tiada habis-habisnya. Tidak dinafikan, strategi penjenamaan Najib memang nampak berhasil. Dalam sekelip mata, seluruh Malaysia seolah-olah gilakan jenama 1Malaysia. Dari artis popular hingga ke syarikat korporat malah kanak-kanak sekolah semuanya sudah mengambil bahagian dalam macam-macam program 1Malaysia.
Bagi mereka yang tidak percaya akan keajaiban simbol 1Malaysia, peristiwa malam 10 April, 2011 membuktikan ada rakyat biasa yang sanggup membahayakan keselamatan diri untuk memiliki barang berjenama 1Malaysia. Peristiwa yang saya maksudkan ialah ceramah Najib di Stadium MBKS di Kuching semasa kempen pilihanraya negeri Sarawak tahun ini. Pada malam itu, selepas Najib berucap, semangat 1Malaysia terus meresap dalam hati setiap satu rakyat dan ribuan mereka berebut-rebut untuk mendapatkan "beg goodies" yang mengandungi sekeping gambar portret Najib dan sebuah bekas plastik jenama "Tupperware".
Menyedari bahawa strategi memberi barang percuma walaupun berjaya masih tidak cukup radikal, berbagai-bagai lagi program diperkenalkan sebagai rancangan besar Bapa Transformasi untuk menanggani keadaan hidup rakyat yang semakin perit. Dibebani dengan dakwaan bahawa isterinya Rosmah Mansor seorang yang tidak cukup sederhana dan sebenarnya idamkan gaya hidup selebriti, Najib terpaksa mencari jalan baru untuk menjalin hubungan dengan rakyat bawahan.
Antara program yang paling signifikan ialah program "Kedai Rakyat 1Malaysia" (KR1M). Di bawah program ini, rangkaian kedai KR1M menjual barangan keperluan harian di bawah harga pasaran biasa. Beza harga sehingga 40% dijanjikan apabila KR1M dilancarkan. Penjimatannya berlaku di mana? Adakah kerajaan membayar subsidi kepada pengendali KR1M, iaitu Mydin? Adakah produk yang dijual itu jauh lebih rendah kualiti dan kosnya? Kata Mydin, ketiadaan sebarang kempen penjenamaan atau pengiklanan membolehkan kos produk yang serupa dengan produk di pasaran dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Oh begitu rupanya.
Sebanyak 1050 kedai makan dan restoran di seluruh Malaysia telah melibatkan diri dalam inisiatif ini untuk menyediakan hidangan lazat pada harga yang rendah demi memberi tenaga kepada rakyat untuk bekerja lebih keras lagi. Namun, sekali pandang Menu Rakyat 1Malaysia, tiada NK2KA disenaraikan. Mana NK2KA RM3 yang dijanjikan Najib? Rakyat biasa perlu terima hakikat bahawa tugas seorang Perdana Menteri itu jauh lebih berat berbanding kerja-kerja kecil kita, maka saya rasa munasabah juga setiap orang makan ikut keperluan masing-masing. Dan sekiranya Perdana Menteri perlukan NK2KA, apa salahnya? Yang penting, rakyat diberi harapan NK2KA mungkin berjaya dicapainya satu hari nanti jika dia berusaha lagi.
Sementara itu, rakyat perlulah berjimat cermat supaya modal boleh dikumpul untuk masa hadapan yang lebih cerah. Tokoh Menabung Kebangsaan, "Saudari RM" adalah model terbaik untuk diteladani rakyat bawahan. Tiada rakyat miskin yang perlu berasa kecewa, kerana melalui aktiviti menabung, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Mungkin sehari nanti, cincin berlian terbesar pun boleh dimiliki. Apa salahnya rakyat digalakkan menabung?
Walaupun kos sara hidup saban hari meningkat, usaha-usaha Najib untuk mentransformasikan Malaysia menjadi 1Malaysia jelas menunjukkan komitmen beliau untuk pembinaan sistem ekonomi yang baru. Jika dahulu rakyat berpendapatan RM3 ribu dan ke atas tidak layak memiliki rumah kos rendah dan sederhana rendah, pada masa depan semua rakyat berpendapatan tengah akan layak membeli kondominium PR1MA. Jika dahulu susu segar dijual dengan gambar kartun lembu atas kotaknya, pada masa depan susu segar yang serupa akan dipek dalam kotak yang hanya mengandungi logo 1Malaysia.
Serupa, tetapi jauh berbeza. Penemuan ujian makmal bebas yang dipanggil DAP baru-baru ini menunjukkan berbagai-bagai produk atas rak KR1M bukan sahaja tidak lulus tahap minima piawai keselamatan makanan kerajaan malah ada produk yang mengandungi bakteria yang berpotensi mengancam nyawa. Sungguhpun ujian menunjukkan terdapat bakteria E. Coli dalam Susu Segar 1Malaysia (SS1M), perkara ini tidak dilihat sebagai isu yang terlalu serius. Kerana masalahnya hanya pada label pakej. Dengan mengubah labelnya sahaja, KR1M tidak lagi boleh difitnah menipu rakyat.
Maka, dari hari ini, SS1M harus dilabel semula menjadi Susu Racun 1Malaysia (SR1M). Seperti janji-janji perubahan demokratik, langkah melabel semula produk KR1M tidak begitu drastik dan tidak perlu ditakutkan rakyat. Rakyat harus terus memberi sokongan kepada Parti 1Malaysia. Hidup 1Malaysia!
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.