Saya bersama Nagen ke Jabatan Kebajikan Daerah Kangsar untuk mengikuti perkembangan permohonan bantuan kewangan bagi pihak penduduk Sungai Siput. Kira-kira 10 kerusi ditempatkan dalam ruang pejabat kebajikan yang luasnya kurang daripada 10 kaki persegi. Sepasang suami isteri yang umurnya lebih daripada 60 tahun duduk di pelusuk. Kaki pakcik itu dibalut dengan batu kapur putih, dengan tongkat dalam tangannya.
Seorang bapa yang muda berdiri di depan meja pendaftaran, dengan seorang budak yang kecacatan dalam pelukannya. Tidak henti-henti budak itu menangis. Dua orang petugas sedang bekerja di meja pendaftaran. Seorang sedang menguruskan dokumen, seorang pula cuba memujuk budak yang menangis itu, sambil bercakap kepada bapanya yang sedang mengeluarkan dokumen dari beg plastik. Mungkin kerana letih menangis, budak itu akhirnya tertidur. Selepas urusannya beres, sampailah giliran dua orang tua itu. Dengan tongkat dan bantuan isterinya, pakcik tua itu mengheret tubuhnya selangkah demi selangkah menuju ke kaunter pendaftaran.
Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan seandainya kerusi yang ditempatkan di pejabat kebajikan "elok nampaknya". Mereka yang berpenyakit dan tidak berpenyakit saling menghimpit dalam satu bilik, mereka yang tempang pula datang incang-incut. Malah, betapa miskin sekali pun mereka terpaksa memanggil teksi untuk berulang-alik dari rumah ke pejabat kebajikan, untuk memastikan bantuan kewangan yang datang lambat itu tidak terputus khabarnya.
Apabila kita tersenyum pahit dengan khabar pembelian binokular marin dengan harga 28 kali ganda lebih tinggi dari pasaran, dan kononnya ia bukan "rasuah"; atau kita cemburu kepada lembu yang mampu duduk dalam kondominium mewah berharga RM9.8 juta, kita perlu ingat adanya golongan miskin yang berulang-alik ke jabatan kebajikan untuk merayu bantuan kewangan agar kecemasan di depan mata dapat diselesaikan.
Jurang kaya-miskin melebar
Terdapat kira-kira seratus jabatan kebajikan sebegini di bandar dan pekan di Malaysia, melayan golongan menengah bawah yang tak kenyang makan, dan tak mati lapar. Menurut statistik tahun 2007 pada laman jabatan kebajikan, golongan menengah bawah ini termasuklah 27 ribu orang warga emas yang berpenyakit dan yang tidak berpenyakit, atau dibiarkan bersendirian. Lebih 90 ribu isi keluarga yang tidak mampu menampung harga buku anaknya yang bersekolah. Malah, terdapat golongan kurang upaya, keluarga tunggal, pengemis yang tidur di tepi jalan... soal makan dan berteduh bukan boleh diselesaikan hanya dengan laungan slogan "1Malaysia" atau "Merakyatkan Ekonomi".
Mengambil berat kebajikan rakyat golongan bawahan bukan dasar perhubungan awam politik yang "menabur kasih", tetapi menyedari realiti bagaimana sistem ekonomi bebas memihak kepada kapitalis.
Kerajaan yang menyokong ekonomi pasaran telah menswastakan sektor awam. Hospital swasta tidak menerima pesakit yang tidak dijamin insuran, hospital awam pula menunggu giliran untuk menempah katilnya. Pendidikan percuma kononnya, yuran am seseorang murid mungkin setengah daripada gaji bapanya. Bencana alam yang berlaku sekali dua dalam setahun mungkin mencelarukan perancangan kewangan sesebuah kelaurga. Keluarga golongan pekerja meronta-ronta untuk kelangsungan hidupnya terpaksa meminta bantuan dari jabatan kebajikan.
Mereka yang memerlukan keprihatinan jabatan kebajikan bukanlah golongan yang malas, atau parasit masyarakat yang menunggu durian runtuh. Ramai antara mereka yang diperas titik peluhnya untuk melincirkan pembangunan negara. Mereka tidak terbebas untuk dieksploitasi atas nama pasaran bebas.
Persaingan pemerintah dan pembangkang untuk mengagih wang dengan tujuan untuk memikat hati pengundi gagal membantu rakyat golongan bawah untuk meningkatkan kedudukan kewangan mereka. Selepas wang habis diagihkan, kerajaan harus lebih tumpu untuk melaksanakan dasar kebajikan, bagaimana untuk menyelesaikan isu hospital, sekolah, sistem pengangkutan, rumah kebajikan sosial, sumberi air dan sebagainya.
Mengapa kita merasakan sistem birokrasi agak membebankan, kerana hasil kerjanya tidak setimpal dengan sumber yang dicurahkan. Seandainya jabatan kebajikan lebih proaktif untuk turun ke padang dan menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan, dan bukannya hanya mengendali permohonan bantuan kewangan secara pasif di pejabatnya, maka bapa tidak perlu membawa anaknya yang cacat berulang-alik, orang tua yang tempang pula tidak perlu berhempas pulas ke sini sana.
Maka tak perlulah rakan saya Nagen benci kepada kerajaan yang tidak prihatin kepada rakyat miskin, seandainya lebih ramai yang hidup dengan lebih baik.
*Soh Sook Hwa ialah AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia, dan setiausaha di cawangan Bayan Baru. Beliau pernah mencabar AUKU di mahkamah, tetapi gagal. Tulisan ini disunting dan diterjemah dari teks asal.