Wednesday, February 15, 2012

Deportasi Kashgari sukar diberi komen objektif

Isu deportasi rakyat Arab Saudi, Hamzah Kashgari yang kini hangat dibincangkan merupakan satu isu yang agak sukar untuk diberi komen yang objektif.

Hamzah Kashgari telah didakwa menulis satu kenyataan yang menghina Rasulullah s.a.w.melalui twitter dan menurut laporan Reuters selepas beberapa jam tulisan beliau itu, beliau telah memadamkannya dan menulis dengan panjang lebar dengan memohon maaf dan bertaubat atas tulisannya itu.
Dilaporkan juga beliau telah keluar dari Arab Saudi dan bercadang untuk lari ke New Zealand atas alasan beliau takut akan dibunuh jika tidak melarikan diri. Kini semua orang tahu proses deportasi beliau ke Arab Saudi telah dilakukan meskipun terdapat keputusan Mahkamah Tinggi di negara itu yang menghalang proses deportasi itu dilakukan.

Berdasarkan senario di atas pendirian saya berhubung isu ini adalah seperti berikut:-

Islam memandang serius sebarang kenyataan yang sama ada secara langsung atau tidak langsung menghina mana-mana Rasul atau Nabi apatah lagi Rasulullah s.a.w. Jika menghina manusia yang lain juga dilarang oleh Islam sudah tentu menghina manusia yang Allah dan MalaikatNya memuji dan berselawat atasnya iaitu Rasulullah s.a.w. sudah tentu lebih lebih lagi dilarang.

Meskipun Islam amat menyanjung tinggi kebebasan bersuara dan kebebasan berekspresi namun sepertimana yang diterima dan diakui oleh mana-mana undang-undang di dunia ini dan piagam hak asasi manusia sejagat kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak dan harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Islam mempunyai piawaian atau standardnya tersendiri dalam menentukan hak dan kebebasan bersuara dan ianya wajar dihormati.

Islam meletakkan penghinaan ke atas mana-mana Nabi atau Rasul sebagai satu perbuatan jenayah dan jika terdapat bukti seseorang itu melakukan kesalahan tersebut beliau wajar dibicarakan mengikut lunas-lunas undang-undang dan prinsip-prinsip keadilan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atas orang tersebut.

Islam mengiktiraf prinsip sejagat undang-undang jenayah iaitu seseorang yang dituduh adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Dalam menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak , beliau tidak boleh sama sekali dihakimi oleh sentimen orang ramai sebaliknya hendaklah ditentukan oleh Mahkamah yang akan mengambil kira segala bukti dan keterangan yang ada. Kebencian kepada seseorang tidak boleh digunakan untuk menafikan proses keadilan ke atas orang tersebut.

Bertolak dari prinsip di atas jika benar Hamzah Kashgari ada mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Rasulullah s.a.w beliau sewajarnya diambil tindakan berdasarkan undang-undang yang dikuatkkuasa di negara beliau. Ini kerana beliau adalah rakyat Arab Saudi dan tuduhan kesalahan tersebut dilakukan di sana maka Mahkamah Arab Saudi, bagi saya, mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan beliau atas prinsip undang-undang dan keadilan yang dinyatakan di atas.

Kita percaya jika sekalipun beliau didapati bersalah atas kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh beliau mahkamah di sana akan pasti mengambil kira perisytiharan taubat beliau. Bagi kesalahan yang termasuk dalam kategori ' irtidad' Islam mengkehendaki mahkamah mengambil kira hak seseorang untuk bertaubat.

Bagaimanapun jika beliau tidak melakukan kesalahan tersebut beliau tidak sewajarnya merasa takut untuk berhadapan dengan proses perbicaraan di sana bagi mempertahankan dirinya dari tuduhan yang tidak benar itu.

Jika benar dakwaan Kashgari bahawa beliau menjadi mangsa kerana menyokong kebangkitan Arab (Arab spring) dan mendesak supaya proses demokrasi dibuka di negara beliau ianya satu tindakan yang amat dikesali. Jika benar dakwaan Kashgari tersebut adalah munasabah untuk mana-mana pihak mendesak pihak Arab Saudi tidak mengambil tindakan ke atas Kashgari atau mana-mana rakyatnya yang menuntut demokrasi dibuka di sana bagi mewujudkan satu kerajaan yang lebih terbuka dan tidak dilihat menindas dan mencengkam rakyatnya. - Mohamed Hanipa Maidin

Penulis adalah AJK PAS Pusat

http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/deportasi-kashgari-sukar-diberi-komen.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...